Thursday, October 31, 2013

Bayar Tambang Teksi Guna Kad Kredit

 

Jangan salah faham! Bukanlah tujuan untuk menggalakkan rakyat supaya berhutang. Cuma apa yang ingin diwarwarkan adalah teksi di Malaysia ini sudah mempunyai medium pembayaran tambahan baharu iaitu menggunakan kad kredit atau debit.

Lumrahnya di Malaysia ini segala tambang perkhidmatan teksi dibayar secara tunai. Kini dengan pelancaran TEKS1M baru-baru ini, pengguna sudah boleh membayar dengan kad plastik jika mahu.

Ini bukan paksaan. Tetapi medium pembayaran ini dilihat berguna dikala kecemasan bila terlupa hendak membawa duit secukupnya atau tak sempat pergi cucuk keluarkan duit.

Ia juga sebagai satu nilai tambah kepada perkhidmatan teksi yang mampu memudahkan pelancong luar negara. Kerana kebanyakan pelancong tidak membawa duit yang banyak ketika berjalan, jadi kad kredit menjadi pengganti dalam kebanyakan transaksi jual beli di sini.



Selain daripada itu, pelancong juga tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke pusat tukaran wang asing bagi mendapatkan duit Ringgit Malaysia. Dengan kad kredit segala kadar tukaran wang asing telah dikira serta merta. 

Setakat ini sebanyak 50 buah TEKS1M telah mula beroperasi secara rasmi di Lembah Klang setelah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Nur Ismal Kamal di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan pada awal bulan ini.

Sejumlah 1000 unit TEKS1M dijangka mula beroperasi di kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru menjelang hujung tahun ini. Seribu unit pertama ini merupakan pengenalan kepada  kelas perkhidmatan baru yang menjadi sebahagian daripada agenda transformasi industri teksi.



Program lesen TEKS1M ini merupakan inisiatif YAB PM, Datuk Seri Najib Razak melalui agensi SPAD dengan kolaborasi bersama Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Proton dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Seribu yang terpilih ini merupakan kumpulan perintis kepada tranformasi industri. Kerana di masa akan datang semua teksi yang melebihi had tempoh kenderaan wajib bertukar kepada TEKS1M. Peraturan ini terpakai kepada lesen individu dan juga lesen syarikat.

Untuk tidak membebankan individu dan syarikat, migrasi kepada TEKS1M ini dilakukan secara berperingkat-peringkat. Ini bermakna pemandu masih boleh terus menggunakan teksi sedia ada jika usia kenderaan mereka masih baru.



Migrasi ini dilihat penting bagi menyatukan semua tiga kelas perkhidmatan sekarang iaitu Bajet, Eksekutif dan Primier kepada perkhidmatan tunggal yakni kelas TEKS1M. Perlaksanaan sistem ini dijangka dapat menutup jurang kelas perkhidmatan di negara ini.




No comments:

Post a Comment