Thursday, October 24, 2013

Penggunaan Pengangkutan Awam Masih Rendah


Pelbagai transformasi perkhidmatan bas, teksi dan rel telah diusahakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 3 Jun 2010. 

Langkah transformasi ini juga adalah bagi memperbaiki mutu perkhidmatan awam di negara ini yang sering mendapat reaksi negatif dikalangan pengguna dalam dan luar negara. 

Segala kekurangan yang wujud sebelum 2010 telah dikaji dan diperhalusi bagi mengenal pasti masalah sebenar serta melampirkan penyelesaian terbaik. 

Jika kita merenung kembali pada awal 1940an hingga 80an, pengangkutan awam menjadi medium utama bagi penduduk Malaysia untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. 

Evolusi perkhidmatan awam juga berubah berperingkat-peringkat kepada rupa bentuk yang lebih moden dan liputan kawasan yang lebih meluas. Tetapi malangnya perkembangan luaran pada struktur bas tidak selari dengan struktur organisasi syarikat perkhidmatan awam terbabit.



Mengapa? Masalah utama yang berlaku adalah kelemahan pengurusan syarikat perkhidmatan dan disiplin dikalangan pemandu yang amat rendah. 

Kesannya perjalanan perhidmatan tidak mengikut jadual, kenderaan sering mengalami kerosakan dan terjadi pula pemandu perkhidmatan yang terlibat dengan kesalahan berat dari kes penipuan hinggalah jenayah gangguan seksual dan bunuh.

Perkara yang dinyatakan ini, membuatkan rakyat menjadi takut dan hilang kepercayaan. Kesudahannya pengangkutan awam tidak lagi menjadi pilihan utama medium pengangkutan di negara ini. 

Bila ini berlaku, syarikat bas pula merungut keuntungan merundum dan tidak mampu menyenggara kenderaan atau mengupah tenaga kerja baru. Walhal, jika kita lihat kepada fakta yang diperincikan tadi kita sudah mampu mengesan di mana punca kepada permasalahan ini. 




Di sini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tampil memainkan peranannya. Membentuk dasar, membuat garis panduan serta menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi segala masalah berbangkit. 

Usaha ini penting bagi mengembalikan keyakinan pengguna untuk terus menggunakan pengangkutan awam, kerana banyak transformasi telah berjaya dilakukan sejak penubuhan SPAD. 



"Antara objektif kami adalah untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam kerana mutu perkhidmatan telah meningkat dengan drastik empat tahun kebelakangan ini. Namun kadar penggunaannya masih di bawah sasaran kami." Kata Ketua Pengawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal.

"Ramai lagi belum mencuba pengangkutan awam. Kita mahu mereka pergi mencubanya bila berpeluang. Biar mereka lihat dan rasa sendiri perubahan perkhidmatan awam yang telah berlaku" Tambah Nur Ismal. 

Jadi kepada rakyat Malaysia, jangan teragak-agak untuk menggunakan perkhidmatan awam di negara ini. Banyak penambahbaikan telah dilakukan oleh kerajaan melalui SPAD dalam memastikan mobiliti rakyatnya mudah dan masa perjalanan dipendekkan.

Seperti Nur Ismal katakan, cuba lihat dan rasai sendiri pengangkutan awam kita. 


No comments:

Post a Comment