Tuesday, February 22, 2011

Peneroka di 3 kawasan Felda penentu PRK Kerdau

Seperti diduga, Pilihanraya Kecil (PRK) Kerdau dan Merlimau akan diadakan serentak, iaitu penamaan calon pada 26 Februari dan mengundi pada 6 Mac. 

Di kedua-dua tempat ini, BN boleh dianggap sebagai favourite dan pembangkang,yang kemungkinan besar diwakili calon PAS, berada dalam kedudukan sebagai “underdog.”

Khabarnya isu yang bakal dijaja di Merlimau ialah kes Teoh Beng Hock, harga barang naik dan isu label Melaka Maju. Di Merlimau tak ada peneroka, jadi isu Felda tidak akan dimainkan di situ.

Sementara di Kerdau pula nampak gaya mereka masih nak berusaha nak kaburkan golongan peneroka di Jengka 22, 23 dan 25. Kali ini saya dengar mereka nak buat serangan peribadi kepada pengerusi Felda, Tan Sri Isa, yang baru-baru ini menjadi sasaran penganalisis ekonomi pro-pembangkang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau N28 di bawah parlimen Kuala Kurau mempunyai 8,451 pengundi berdaftar. Di kalangan peneroka Felda sahaja terdapat 2,655 pengundi. Jengka 22 mempunyai 915 pengundi berdaftar sementara Jengka 23 ada 1,383 dan jengka 25 pula 357 orang. 

Pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008, Allahyarham Datuk Zaharuddin abu Kassim mengalahkan calon PAS dengan majority 1,615 undi. 

Difahamkan majoriti undi yang diperolehi di kawasan Felda, iaitu 920 undi.Daripada jumlah itu Jengka 22  meraih 54 peratus,  Jengka 23 dapat 51% dan Jengka 23 peroleh 85%.

Ini bermakna untuk PRK Kerdau, jentera Barisan Nasional perlu memberi lebih perhatian kepada jengka 22 dan 23. Saya perhatikan PAS telah lama membuat “homework” di kawasan-kawasan ini, antaranya bergiat cergas dalam kegiatan keagamaan di kawasan ini dan secara tidak langsung memesrakan diri dengan penduduk tempatan.

Sehubungan itu jentera BN tidak boleh alpa, terlalu yakin dan sombong. Ramai ustaz/pendakwah penyokong PAS yang mempunyai pengikut di kawasan-kawasan Felda ini. Pengikut dan anak murid mereka tidak semestinya ahli parti. 

Jadi, adalah lebih baik jentera BN mengelak daripada membuat serangan peribadi ke atas mana-mana calon PAS yang diletakkan kerana ia boleh memakan diri. 

Jika pembangkang menggunakan auta, BN hendaklah membalas dengan fakta. Gaya pemikiran peneroka di Jengka mungkin tak sama dengan peneroka di Tenang. BN memang boleh menang, cuma perbezaan majoriti banyak bergantung kepada peneroka-peneroka di ketiga-tiga kawasan Felda itu.

Thursday, February 3, 2011

Peneroka dah bukti sokongan, BN jangan leka

Hujan lebat dan banjir yang melanda pada 30 Januari lalu tidak mematahkan semangat pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang untuk memilih wakil rakyat mereka. 

Akibat hujan dan banjir, tidak sampai 70 peratus penduduk keluar mengundi tetapi yang penting, BN menang dengan majoriti  yang lebih tinggi.

Paling jelas, undi yang banyak diperolehi daripada peneroka Felda. Pengundi India juga meningkat. Orang Cina pula tidak ramai keluar mengundi kerana kebetulan kawasan yang paling ramai diduduki bangsa itu teruk dilanda banjir, terutama di bandar Labis Tengah.

Cubaan pembangkang untuk mempengaruhi peneroka di ketiga-tiga Felda di Tenang ternyata kurang berhasil. Di Felda Tenang, calon BN mendapat 795 undi berbanding calon PAS, 320 sementara peti undi di Felda Chemplak menyaksikan calon BN mendapat 985 dan PAS 132. Di Chemplak Barat pula calon BN mendapat 838 undi dan PAS mendapat 142. Jika dicampurkan kesemuanya, BN mendapat 2618 undi dari peneroka, berbanding hanya 600 yang dipungut PAS

Berikutan keputusan itu, jelas kepercayaan peneroka kepada kerajaan masih utuh. Seharusnya kerajaan mengambilkira dan mengingati keputusan ini. Janganlah apabila sudah menang, perhatian kepada peneroka Felda dikurangkan. 

Banyak lagi yang boleh kerajaan lakukan untuk peneroka, terutama generasi muda. Kerajaan harus meningkatkan usaha mendekati generasi muda Felda. Mewujudkan gelanggang futsal sahaja tidak memadai. Kerajaan harus melipatgandakan usaha menyalurkan maklumat cepat dan tepat kepada peneroka dengan menggunakan pendekatan yang lebih terkini untuk mencantas segala dakyah palsu yang disebarkan oleh pembangkang.

Penyaluran maklumat yang cepat dan tepat kepada peneroka amat penting untuk menangkis usaha pembangkang mempengaruhi minda mereka pada masa akan datang. Buat apa wujudkan pusat komuniti jalur lebar di kawasan Felda jika beberapa kerat sahaja peneroka yang memiliki komputer atau laptop di situ?Ataupun mereka tak tahu guna? Apakah usaha lain kerajaan atau pengurusan Felda mewujudkan masyarakat Felda yang peka IT?

Di segi penyebaran maklumat, kita perlu ingat, tak semua orang membaca akhbar dan tak ramai orang peka IT atau tahu menggunakan internet.  Sehubungan itu pendekatan lain juga perlu diambil kira untuk penyaluran maklumat kepada peneroka seperti SMS, pengeposan Risalah/Surat dan lawatan pintu ke pintu.

Tugas mendekati hati peneroka Felda juga tidak harus diserah bulat-bulat kepada Adun sahaja. Pengurus kawasan dan Ketua Peneroka juga perlu dididik dengan ilmu Public Relations/Human Relations. Dah selalu sangat saya mendengar aduan peneroka mengenai Ketua Peneroka atau Pengurus Felda yang sombong dan tidak mahu bercampur dengan orang bawahan. 

Untuk mengelakkan golongan muda terbabit dengan gejala sosial yang kurang sihat, Felda juga mungkin boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Untuk mewujudkan Rakan Muda Felda Prihatin atau seumpamanya. Saya yakin pembabitan dalam aktiviti seumpama ini dapat membantu generasi muda Felda membentuk jati-diri.

Hubungan antara pihak pengurusan Felda dengan peneroka Felda harus dua hala dan bukan sehala. Jika perkara-perkara seperti ini tidak diambil perhatian, ia akan menjadi seperti bisul, semakin dibiar, semakin besar dan akhirnya pecah.

Pembangkang sedar keputusan ini menunjukkan mereka tidak mempunyai tempat di hati orang Felda - buat masa ini. Tetapi saya yakin mereka tidak akan patah semangat. 

Saya dengar pelbagai strategi sudah diatur oleh pembangkang untuk mendekati generasi muda Felda, terutama pelajar sekolah, IPTA dan IPTS. Mereka menggunakan segala medium yang ada untuk menyampaikan dakyah sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. 

Selain menggunakan blog, Facebook dan twitter, mereka juga melakukan pendekatan sosial dengan menghadiri atau menganjurkan kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan dari semasa ke semasa.

Apakah pula pendekatan yang akan dibuat oleh pengurusan Felda dan kerajaan BN selepas ini? Semoga mereka jangan happy sangat dan jangan leka!