Monday, October 21, 2013

Hanya Dua Suara Wanita Dalam MT!


Hujan rahmat membasahi perkarangan PWTC petang semalam ketika Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Tajol Rosli mengumumkan keputusan Pemilihan Agung UMNO bagi penggal 2013-2016. 

Keputusan menyaksikan hanya dua wanita sahaja yang berjaya menempatkan diri ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi. Dua calon ini adalah Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Rosnah Shirlin yang mana kedua-duanya merupakan bekas Ketua sayap Puteri UMNO.


Jangkaan lebih ramai wanita menerajui jawatan ini pada awalnya tidak seperti yang diharapkan. Rata-rata nama dari Wanita seperti Raja Ropiah, Halimah Sadique, Siti Zaharah Sulaiman, Hamidah Osman, Maznah Abdul Hamid dan Rosni Zahari tidak mendapat sokongan majoriti bahagian sekali gus GAGAL meletakkan diri ke kedudukan 25 teratas.

Apakah yang kita dapat rungkaikan dari keputusan ini? Adakah calon wanita yang dicadangkan oleh Shahrizat gagal mendapat tempat di hati para perwakilan? Adakah perwakilan dan ahli akar umbi inginkan calon muda ke barisan kepimpinan?

Dua bekas Ketua Puteri ini, masing-masing berjaya meraihkan kemenangan berganda dalam pemilihan kali ini. Selain berjaya menduduki kerusi Majlis Tertinggi, Azalina turut diberi kepercayaan sekali lagi sebagai Ketua Bahagian UMNO di Pengerang. Manakala Rosnah pula mendapat mandat sebagai Exco Wanita.



Maka dua suara bekas Ketua Puteri inilah yang akan menjadi wakil suara wanita di dalam Majlis Tertinggi. Melihat kepada keputusan ini, Najib Tun Razak dijangka akan membuat beberapa lantikan bagi mengimbangi suara di dalam Majlis Tertinggi ini. 

Apa yang perisik harapkan adalah lantikan tambahan ini haruslah mengambil kira pandangan perwakilan supaya tidak bercanggah dengan angka undi yang telah diberikan. Jika ada yang terpilih, jangan pula leka mendabik dada seolah kejayaan gemilang sedangkan lantikan tambahan ini sering dianggap sebagai lantikan "pintu belakang".

Personaliti dua bekas puteri ini perlu didahulukan dan diberi pengiktirafan yang setimpal dalam kerajaan kerana Azalina dan Rosnah ini membawa suara majoriti perwakilan yang memilih mereka. Jadi tidak sepatutnya disisih dari menerajui bagi memikul tanggungjawab membawa aspirasi kerajaan Barisan Nasional.




No comments:

Post a Comment