Sehingga kini, beribu-ribu tan bekalan pelbagai jenis barangan telah diagihkan ke kawasan bencana dan berjuta dana disalurkan bagi meringankan beban terutamanya mangsa yang tinggal sehelai sepinggang kehilangan rumah dihanyutkan oleh arus deras.
Pengerusi YM, Datuk Hj Ehsanuddin Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif YM, Fazli Buyong terlibat secara langsung bersama para sukarelawan berkonvoi ke Kelantan membawa sejumlah 10 tan bekalan bantuan.
Operasi Khidmat Mesra konvoi YM kali ini tertumpu di Tanah Merah, Kelantan dan bekalan telah dibawa ke Dewan Insaniah, Kampung Kelewek yang dijadikan pusat agihan bantuan kepada mangsa banjir. Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz mengalu-alukan ketibaan YM dan berterima kasih di atas segala bentuk bantuan yang diberikan.
10 tan barangan yang disampaikan adalah bekalan air bersih, beras, minyak masak, telur dan pelbagai bahan makanan serta peralatan keperluan lain. Setiba disana, para sukarelawan YM tidak membuang masa mengagih bekalan bantuan kepada mangsa. Kepenatan perjalanan dan memunggah bahan bekalan bukan penghalang untuk teruskan misi bantuan.
Dalam perjalanan ke rumah-rumah mangsa banjir, Ehsanuddin bersama sukarelawan YM telah melalui beberapa lokasi terjejas teruk dan melihat sendiri bagaimana bencana banjir membadai negeri sekaligus melumpuhkan kehidupan lebih 150 ribu mangsa banjir di Kelantan.
Bersyukurlah jika kita berpeluang membantu mangsa banjir kali ini, esok atau lusa kita tidak tahu nasib kita yang bila-bila masa boleh menjadi mangsa banjir pula. Mungkin rakan-rakan yang dibantu inilah yang akan turun membantu kita kembali. Semoga segala usaha kerja pihak Yayasan Mesra berterusan ke negeri-negeri lain yang turut dilanda musibah.
No comments:
Post a Comment