Kejatuhan harga minyak mentah dunia memberi kesan kepada nilai Ringgit Malaysia sekaligus memperlahankan perkembangan negara. Jika sebelum ini unjuran perkembangan berkisar 6% setahun, kini sasarannya berlegar antara 4.5% - 5.5% setahun.
Dagangan minyak mentah yang menjadi pendapatan utama negara adalah stabil sewaktu harganya lebih USD100 setong dan pernah menjejak USD145 setong pada Julai 2008. Bila pengeluaran melebihi permintaan harganya mula jatuh kepada USD70 dan kini berlegar pada harga USD45 setong (23 Januari 2015).
Trend kejatuhan minyak ini mengheret Ringgit jatuh ke paras RM3.60 bersamaan 1USD kini berbanding RM3.10 pada 27 Ogos 2014 lepas. Pemantauan berterusan dilakukan dan langkah pengstrukturan dilihat perlu bagi mengelak kejatuhan terburuk Ringgit ke paras RM4.71 pada Januari 1998.
Malaysia turut diuji dengan bencana banjir yang membadai beberapa buah negeri sehingga mengakibatkan kerosakan teruk. Jumlah kerugian dianggarkan RM1 billion, akan tetapi angka ini tidak meliputi kehilangan transaksi perniagaan yang lumpuh selama lebih sebulan.
Melihat kepada ekonomi dan keadaan negara yang dilanda bencana, pihak kerajaan pusat telah merangka tiga strategi dan perkara ini telah pun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib minggu sudah. Tiga strategi tersebut melibatkan pengstrukturan semula dan mengalih perbelanjaan ke bahagian yang lebih utama.
Antara dinyatakan adalah mengkaji semula pemberian geran kepada NGO dan GLS sebanyak RM3.2 billion serta menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2015 yang dikira dapat menjimatkan kos sebanyak RM400 juta.
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Narrashid bersetuju dengan pelan strategi yang diutarakan Najib dan berpendapat penangguhan selama setahun ini sebagai peluang dan ruang terbaik untuk mempertingkatkan struktur modul pengisian latihan.
"Sesi pertama PLKN sudah berjalan, oleh itu penangguhan ini hanya melibatkan sesi kedua dan ketiga. Satu mesyuarat bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga akan berlangsung bagi memperinci perancangan yang perlu sepanjang penangguhan PLKN 2015." jelas Ehsan.
No comments:
Post a Comment