Tuesday, January 27, 2015

Tuk tuk Alternatif Pengangkutan Luar Bandar Di Malaysia


Penggunaan 'tuk tuk' di atas jalan raya di Malaysia belum lagi dimuktamadkan kerana ia baru diperingkat cadangan dan masih memerlukan kajian terperinci. IDEA Tuk tuk ini ditimbulkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk dinilai sebagai medium alternatif pengangkutan di negara ini.

Namun idea ini telah menerima pelbagai reaksi dikalangan masyarakat. Ada yang bersetuju, ada yang menolak dan ada merasakan satu tempoh percubaan perlu diberikan untuk melihat sejauh mana keberkesanan tuk tuk. Kata orang belum cuba belum tahu!


Perkhidmatan tuk tuk ini banyak terdapat di negara-negara asia terutama di Thailand dan Indonesia yang menjadi antara medium pengangkutan utama di sana. Malah ia menjadi pilihan pelancong kerana tambang yang murah dan mobiliti ke destinasi dituju lebih santai. Slow & steady!


Ramai menyangkakan tuk tuk yang akan diperkenalkan ini bakal membanjiri kota raya Kuala Lumpur dan ini hanya memburukkan lagi kesesakan jalan raya. Jangkaan tersebut meleset sama sekali, kerana SPAD sedia maklum dan tidak bercadang melaksanakannya di kawasan bandar.

Cadangan awal penggunaan tuk tuk ini adalah sebagai pengangkutan pengantara atau 'feeder' yang beroperasi di stesen-stesen rel LRT, KTM atau MRT. Penekanan perlaksanaan diberikan bagi stesen rel di luar kawasan bandar iaitu sekitar lingkungan 10km hingga 25km dari pinggir bandar.

Pengerusi SPAD, TS Syed Hamid Albar mencadangkan tuk tuk berkuasa elektrik digunakan kerana mesra alam dan lebih murah untuk beroperasi dalam jangka masa panjang. Kosnya sudah pasti lebih efektif dan mampu menawarkan tambang berpatutan buat pengguna seperti pelajar kolej dan sekolah.




Sebelum memutuskan itu ini tak sesuai, kita perlu ambil kira sudut pengguna perkhidmatan awam yang berada dipinggir atau luar bandar. Rata-rata kawasan ini tidak mempunyai jaringan pengangkutan awam yang luas mahupun kekerapan perkhidmatan setiap 10minit atau 15 minit. Adakalanya terpaksa menunggu selama lebih satu jam untuk mendapatkan perkhidmatan awam bas atau teksi.

Bukan kerana kelemahan perkhidmatan, akan tetapi kawalan kos dari pihak pengusaha sendiri. Jika dihitungkan contoh sebuah bas dengan kapasiti 40-45 tempat duduk adakalanya hanya dinaiki tidak sampai 4-5 penumpang dalam satu pusingan perjalanan. Perkara ini sudah tentu merugikan pengusaha.

Tidak hairanlah jadual kekerapan perjalanan dikurangkan dan pemandu bas terpaksa menanti sehingga jumlah penumpang mencukupi sebelum bergerak. Jadi kelewatan pasti dirasai dan ini tentu mengganggu perancangan harian pengguna.

Melihat kepada senario ini, perkhidmatan tuk tuk dilihat bersesuaian sebagai penyelesaian alternatif untuk kawasan luar bandar. Tapi seperti dinyatakan awal-awal tadi ia hanya akan diaturkan sebagai perkhidmatan pengantara. Bukan perkhidmatan menggantikan bas atau teksi di satu-satu kawasan.

Walaubagaimanapun, ia masih diperingkat cadangan dan cadangan ini perlu dilibatkan bersama pelbagai agensi kerajaan lain untuk diperhalusi dan dipertimbangkan. Jelas tidak timbul SPAD terburu-buru atau main tibai hendak melaksanakannya tanpa kajian dan pendapat orang ramai terutama penduduk luar bandar.

No comments:

Post a Comment