Thursday, January 29, 2015

Tiong Lai: MCA Tampil Bakat Kepimpinan Muda Hadapi PRU14


Transformasi parti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) lepas turut disahut oleh rakan komponennya iaitu MCA. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah pun menggerakkan beberapa pelan yang dilihat selari dalam perjuangan BN.

Pada PAU November 2015, Najib telah menegaskan kepetingan untuk meremajakan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Kali ini MCA sedang dalam proses mencungkil bakat kepimpinan baharu untuk diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti.

"Seperti yang saya katakan dahulu bahawa transformasi parti kita adalah terbuka dan apabila perkara mengenai memilih calon, kita akan membuat kajian melalui proses parti dan juga proses komuniti, yang komuniti juga boleh memberi pandangan mereka mengenai calon kita.

"Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan tetapi proses mengenal pasti calon berwibawa dan berkaliber berjalan berterusan. Ini sebagai sebahagian daripada persediaan parti bagi menghadapi cabaran PRU14" Kata Tiong Lai.

MCA jelas komited dalam memperbaiki kedudukan sebelum menghadapi PRU14 nanti. Usaha menonjolkan calon pemimpin belia dilihat bertepatan bagi menyelami nadi rakyat terutamanya golongan muda.

Sudah tiba masanya bakat muda dalam MCA mendapat tempat sewajarnya di dalam parti supaya lebih banyak peluang dan ruang diberikan untuk berbakti kepada masyarakat dan negara. Pendekatan pemimpin muda ini, dijangka dapat memberi impak positif dalam menarik pengundi-pengundi muda dari segenap lapisan masyarakat untuk kembali menyokong MCA.

Baru-baru ini, kita dapat lihat generasi muda dari MCA tampil melakukan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang menghadapi bencana banjir di Pantai Timur. Walaupun usaha bantuan bukan untuk berpolitik, namun ia sudah tentu memberi kesan kepada mangsa yang menerima bantuan dari MCA.

PRU14 merupakan agenda utama MCA. Oleh itu langkah menampilkan beberapa strategi bagi meningkatkan keberkesanan dalam mencungkil bakat kepimpinan muda dalam parti. Antaranya Pihak MCA telah pun menubuhkan jawatankuasa induk di peringkat pusat, negeri dan bahagian supaya kebolehan pemimpin muda ini dapat ditonjolkan.

"Bagi MCA dan Barisan Nasional (BN), PRU14 adalah sangat penting. Oleh itu, kita perlu bersedia dari sekarang. Ini adalah misi penting untuk kita pastikan kekuatan parti. Kerana itu kita hendaklah sentiasa mendampingi rakyat serta membantu dan memenuhi kehendak mereka" Tambah Tiong Lai.


No comments:

Post a Comment