Sejak beberapa hari ni riuh di alam maya dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang didakwa menyebut perihal mengenakan tindakan perundangan terhadap ibu bapa yang merotan anak mereka.
Begitu galak blog-blog pro kerajaan dan media-media rasmi kerajaan memainkan gambaran rotan akan dikenakan tindakan undang-undang sehingga mengundang persepsi negatif terhadap kementerian KPWKM pimpinan Rohani.
Tidak kurang juga yang tampil dengan dalil dan nas dari Al-Quran serta hadis yang membolehkan rotan/pukul bagi tujuan mendidik namun tegas tidak sampai mencederakan anak-anak.
Ada juga menyamakan kenyataan Rohani dengan perundangan Sweden seperti yang berlaku terhadap suami isteri warga Malaysia yang didapati bersalah merotan/memukul anak-anak mereka kerana tidak menjalankan kewajiban sebagai umat Islam.
Penggunaan istilah rotan dalam kenyataan Rohani kepada media disebut sebagai contoh kebiasaan masyarakat negara ini yang mendidik anak-anak mereka dengan merotan. Turut disebut mengenai Malaysia yang telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Kenyataan awal ringkas Rohani kepada para media sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan pada sudut laporan tapi apa yang pasti beliau tidak mempertikai atau mengenepikan langsung sebarang dalil dan nas berkaitan cara mendidik anak-anak Islam.
Dari sini sahaja jelas menunjukkan bahawa penambahbaikan perundangan dalam menjaga hak kanak-kanak di Malaysia tidak sama sekali menyerupai Sweden seperti yang digembar gemburkan kerana majoriti warganya bukan beragama Islam.
Lagi pun pihak KPWKM masih perhalusi beberapa sudut perundangan lain dalam mematuhi perjanjian CRC ini. Kerana terdapat beberapa garis panduan yang disebut dalam CRC ini bertentangan dengan undang-undang sivil dan syariah Islam negara ini seperti perkara 1,2,7,13,14,15,28 (1)(A) dan 37.
Kekalutan yang ditimbulkan tidak ubah hanya salah faham atau terlepas pandang orang ramai terhadap penjelasan keseluruhan Rohani. Kerana penekanan kenyataan yang diberikan para media tidak sepatutnya tertumpu kepada satu istilah ROTAN sahaja. Tetapi perlulah dijelaskan dengan ayat penuh yakni "memukul sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kanak-kanak".
Jika hanya istilah rotan digunakan ianya terlalu spesifik seolah-olah ibu bapa bolehlah guna batang paip atau penyapu pula selepas ni bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Apa-apa pun sebarang perubahan atau perlaksanaan akta perlu dibawa ke kabinet, dewan rakyat dan dewan negara untuk dibahaskan sebelum digubal menjadi undang-undang.
Masalahnya belum lagi dibahaskan sudah heboh macam benda sudah dikuatkuasa. Relakslah dulu!! Ni bukan ladang lembu boleh main tibai libas tak ada peraturan. Ini hal memperjuangkan hak anak-anak kecil kita dari menjadi mangsa kebuasan individu atau kumpulan yang mendera dan merogol hingga meragut nyawa.
No comments:
Post a Comment