Monday, January 19, 2015

Seribu Manfaat Di Program Mesra Sihat Kota Tinggi

 

Acara yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Felda Pasak, Johor pada 17 Januari lepas telah mendapat sambutan menggalakkan warga sekitar Kota Tinggi. Beberapa agensi kerajaan turut sama terlibat menjayakan program ini, antaranya Yayasan Mesra, PDRM, KEMAS, AADK dan lain-lain.

Program yang dikenali sebagai "Mesra Sihat Masyarakat Sejahtera" ini merupakan anjuran JKKK Felda Pasak dengan pelbagai pengisian yang bersesuaian untuk semua peringkat umur dan jantina.


Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, derma darah, senamrobik serta berbagai-bagai pertandingan bagi memeriahkan lagi suasana Mesra Sihat ini. 

Taklimat menjaga keselamatan juga dikongsikan kepada para hadirin oleh Inspektor Devendiran a/l Paliniandy dari Jabatan Siasatan Jenayah. Penerangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat memberi gambaran jelas tentang tugas-tugas polis lebih mendalam. Seperti jangan mengusik bahan bukti di tempat kejadian atau insiden. Tidak kiralah sama ada insiden kecurian, kemalangan dan lain-lain.



Ramai juga yang hadir memenuhi penerangan kesihatan yang disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan, Puan Amirah Binti Mohamed Jalal. Tips-tips pemakanan sihat dan seimbang ditekankan bagi mengelak pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan jantung.




Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Ehsanuddin Narrashid yang disambut para hadirin. Peluang ini tidak dilepaskan oleh warga Kota Tinggi beramah mesra dengan pemimpin pilihan mereka lebih dekat.  Turut sama isteri beliau, Datin Zubaidah Kassim yang bersahaja mendekati para ibu di setiap khemah-khemah di mana program berlangsung.



Baru-baru ini Ehsanuddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif YM, Fazli Buyong serta para sukarelawan Yayasan Mesra telah berkonvoi ke Tanah Merah bagi menghulurkan 10 tan bantuan kepada mangsa banjir di sana.

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan, Ehsanuddin yang juga Pengerusi Yayasan Mesra (YM) memastikan bakti dicurah dan keakraban bersama warga Kota Tinggi terpelihara. Ternyata mandat yang diberikan oleh warga Kota Tinggi sebagai Ahli Parlimen tidak disia-siakan Ehsanuddin.

Usaha sama JKKK Felda Pasak dengan agensi-agensi kerajaan ini boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di gugusan Felda yang lain. Mungkin selepas ini Yayasan Mesra dapat mempertimbangkan dalam menganjurkan selawat perdana seperti di Putrajaya bagi pengisian kerohanian warga Kota Tinggi. InsyaAllah!



 

 

No comments:

Post a Comment