Memang inilah yang sedang berlaku, seperti yang telah dinyatakan dalam artikel sebelum ini ancaman Islam kini bukan hanya datang dari musuh Islam di luar sana. Tetapi dari dalam Islam itu sendiri. Gerakan musuh dalam selimut ini lebih merbahaya kerana kehadiran mereka tidak disedari sehinggalah keadaan sudah menjadi parah.
Mereka ini ibarat virus dan barah yang menghancurkan Islam perlahan-lahan tanpa disedari. Cara pembawakan mereka tampak keIslaman pada luaran. Hakikatnya tersasar dari ajaran Islam sebenar. Amat mudah bagi umat Islam terutamanya golongan kanak-kanak dan belia untuk terpengaruh dengan dakyah bawaan penyongsang.
Masih ramai golongan kanak-kanak dan belia yang tidak mempunyai asas yang kukuh apatah lagi untuk mendalami Islam sekaligus tidak mampu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Situasi ini cukup membimbangkan, kerana golongan ini adalah sasaran mudah puak songsang untuk dijadikan pengikut mereka.
Dari hanya 2-3 orang pengikut berkembang menjadi 200-300 orang dalam beberapa bulan. Dalam masa beberapa tahun sudah cukup untuk membentuk satu koloni dengan beribu-ribu pengikut. Lebih membimbangkan apabila ramai yang menjadi taksub dengan pemimpin sesat mereka sehingga menjurus kepada keganasan.
Keadaan menjadi sukar untuk diperbaiki setelah pengikutnya menjadi telalu ramai. Kerana pengikut mereka hanya mempercayai segala yang disampaikan oleh pemimpin songsang adalah benar. Mana yang lain dari apa yang diajar oleh guru mereka adalah salah, bertentangan dan wajib di lawan. Akhirnya umat Islam bercakaran sesama sendiri dan musuh Islam diluar sana hanya perlu tambah minyak untuk memarakkan lagi api pertelagahan ini.
Perkara ini sudah dibangkitkan banyak kali oleh Dato Dr Mashitah di setiap forum dan ucapan kepada hadirin. Permasalahan tentang ancaman musuh Islam yang kini datang dalam pelbagai arah. Dalam perhimpunan agong UMNO lepas juga, sekali lagi Mashitah mengingatkan orang ramai.
Oleh yang demikian, Mashitah telah mencadangkan beberapa idea bagi mengekang kemaraan musuh Islam dari dalam dan luar. Antaranya adalah dengan memperhebatkan tapisan berganda terhadap penceramah. Perkara ini turut mendapat persetujuan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang berpendapat cara ini dapat membendung penyebaran dakyah sesat yang bertopengkan Islam.
Rakyat juga perlu memainkan peranan memastikan usaha menyekat penyebaran fahaman salah di negara diperhebatkan. Janganlah kita mengambil sikap sambil lewa dan hanya melepaskan isu ancaman terhadap Islam kepada pihak kerajaan semata-mata. Kebiadapan musuh Islam pasti akan terhenti jika Islam bersatu dalam mendepani mereka.
No comments:
Post a Comment