Sunday, January 10, 2016

Diskaun Sehingga 50% Pengangkutan Awam


Ramai yang mengeluh apabila tambang pengangkutan awam dinaikkan. Disalahkan pula kerajaan tidak mengawal kenaikan ini. Dituduh zalim dan menyusahkan rakyat. Cakap lepas memang senang, tapi berapa ramai yang mengkaji.

Tiada apa yang ganjil tentang kenaikan ini. Dari dulu lagi kita boleh lihat peningkatan tambang pengangkutan awam. Belum pernah lagi kita melihat tambang turun. Begitu juga dengan harga barangan. Kenaikan ada sebabnya, bukan sesuka hati. Tapi tidak dinafikan ada sebilangan yang dimanipulasi. 

Dalam hal pengangkutan awam ini, kerajaan tidak lepas tangan. Dinaikkan, pengguna mengeluh. Tak naik, pengendali industri pengangkutan awam pula merungut. Serba salah dibuatnya. Nak atau tidak, jalan tengah dicari. Dalam membuat kenaikan, kerajaan menampilkan inisiatif penjimatan kepada golongan sasaran.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui ERL, KTM dan RAPID  memperkenalkan Kad atau Pass diskaun sehingga 50% kepada pengguna perkhidmatan awam. Rata-rata keistimewaan ini diberi kepada golongan pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Perlu diingat lain pengendali, lain pakejnya.

Seperti KLIA Espress (ERL), memberikan diskaun 30% kepada pemegang kad Siswa 1Malaysia dan OKU. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula memberi diskaun sehingga 50% kepada pelajar 7 hingga 8 tahun dan penuntut universiti. Hanya perlu tunjukkan kad pelajar sahaja bagi melayakkan diri untuk memiliki kad  KTM i-card. 



Pengguna perkhidmatan RAPID Rail dan Bas juga akan mendapat 50% diskaun melalui pegangan kad myRapid. Pemegang kad diskaun Rapid Rail dan Bas ini hanya layak bagi pelajar sekolah, kolej dan universiti. Kad diskaun myRapid ini sah laku pada perkhidmatan berkaitan RAPID. Seperti LRT STAR, PUTRA dan Bas RapidKL.


Nampaknya ada kategori pengguna yang telan air liur sajalah melihat orang lain dapat diskaun. Jangan bimbang pengguna lain juga mendapat manfaat melalui penggunaan kad Touch 'n Go (T&G) sebagai pas bulanan. Diskaun diberikan sebanyak 20% daripada kadar tambang tiket tunai T&G. Penjimatan 24-33% juga boleh dikecapi melalui pas mingguan dan bulanan perkhidmatan lain. Seperti dinyatakan lain pengendali, lain pakejnya.

Adakala kebijaksanaan sebagai pengguna hebat mencari sebab untuk marah. Tapi kenapa tidak digunakan kebijaksanaan itu dalam mencari pilihan atau alternatif. Bila disebut pasal diskaun ini, pasti ramai yang baru tersedar. Jadi pergilah buat permohonan kad atau pass diskaun daripada pengendali perkhidmatan awam. Jangan lupa dapatkan juga kad T&G kerana manfaat jangka panjangnya memang berbaloi.

No comments:

Post a Comment