Tuesday, May 14, 2013

Teksi Bandar Dah Boleh Ambil Penumpang KLIA !!



Kebiasaannya had operasi teksi bandar adalah sekadar menurunkan penumpang sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang atau lebih di kenali sebagai KLIA. 

Kemudianya mereka terpaksa memandu keluar dari KLIA tanpa penumpang. Bermakna tiada pendapatan dalam perjalanan berpuluh kilometer keluar dari kawasan lapangan terbang untuk balik semula ke bandar.

Perkara ini telah mendapat perhatian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mula meneliti setiap aspek dan mengemukakan  cadangan penyelesaian terbaik.

Dari kajian, SPAD menjelaskan bahawa sejak KLIA mula beroperasi pada 1997, perkhidmatan teksi telah diuruskan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Airport Limo (ALM).

Ketika itu jumlah Limo dapat menampung kadar kemasukan penumpang di KLIA. Akan tetapi angka tersebut terus meningkat sekitar 25,500 penumpang sehari kini dan sekali gus melebihi tahap kemampuan ALM.

Kesannya mula kelihatan, apabila penumpang terpaksa menunggu terlalu lama kerana tidak terdapat cukup teksi di KLIA terutama sekali ketika waktu hujan lebat di Lembah Kelang.  

Kelemahan ini telah memberikan imej yang buruk kepada imej KLIA sebagai pintu masuk utama ke Malaysia.

SPAD telah membawa isu ini ke perhatian Jemaah Menteri pada 19 September 2012 dan membentang permasalahan  Airport Limo ke Majlis Ekonomi (Economic Council) serta mengemukakan cadangan penyelesaian pada 10 Disember 2012.

Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah memutuskan sistem 2-tier diperkenalkan bagi membolehkan teksi bandar menurunkan dan mengambil penumpang di KLIA.

Hari ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan teksi bandar akan mula beroperasi mengambil penumpang KLIA pada 15 Mei 2013, pukul 12.30 untuk percubaan selama tiga bulan. 



SPAD telah membentuk kerjasama dengan Malaysia Airport Holdings Berhad bagi menyediakan kemudahan seperti perhentian, kaunter kupon dan papan tanda bagi menempatkan perkhidmatan teksi bandar ini nanti di KLIA. 

Teksi Bandar akan beroperasi di Aras 1 Bangunan Terminal Utama KLIA menggunakan meter.  Walaupun begitu, penumpang perlu membeli kupon RM 2 sebelum menaiki teksi.  

Ini adalah sebagai bukti mereka manaiki teksi dengan segala butiran perjalanan perjalanan  seperti nombor teksi, tarikh dan masa perjalanan jika terdapat sebarang aduan oleh penumpang.



Airport Teksi yang dikendalikan oleh ALM akan terus beroperasi di Aras 3 menggunakan sistem zon.

Di harap perkhidmatan teksi bandar ini berkualiti dan mampu menerima penumpang dengan kapasiti bagasi yang besar! Buat masa ini masih banyak teksi menggunakan kereta kompak jenis sedan dengan di lengkapi tangki NGV di bahagian simpanan belakang.

No comments:

Post a Comment