Friday, February 13, 2015

Skim Iklan Pendapatan Sampingan Untuk Pengendali Bas Sekolah


Keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pelbagai industri di negara ini. Walaubagaimana pun pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan impak ketidaktentuan ekonomi ini diminimumkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

Jadi pelbagai bentuk bantuan dan skim telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat dalam suasana ekonomi global yang mencabar hari ini. Antara yang turut mendapat perhatian kerajaan untuk dibantu adalah industri pengangkutan awam yang melibatkan lori, bas ekspres, bas sekolah, teksi dan perkhidmatan rel. 

Kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melaksanakan pelbagai inisiatif skim dan bantuan dana dalam memastikan pertumbuhan mampan industri. Kita sudah dengar TEKS1M, TR1MA, SPB1M, Skim Insurans Murid sekolah dan bermacam-macam lagi. 

Baru-baru ini, satu lagi skim diketengahkan iaitu skim pengiklanan bas sekolah bagi tujuan membantu pengendali bas sekolah meringankan beban dengan memperolehi pendapatan tambahan. 

Idea ini pernah disebut oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar pada Oktober 2014 ketika deregulasi tambang bas sekolah diumumkan. Akhirnya ia direalisasikan dengan kerjasama Kumpulan Media Star. Turut sama dalam pelancaran skim ini Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal.



Kolaborasi dua entiti ini telah membentuk satu kerjasama yang dikenali sebagai projek 'School Buzz'. Melalui projek pengiklanan ini pengendali bas sekolah dijangka menerima pendapatan tambahan sehingga RM500 sebulan.

Nilai tambahan ini sekurang-kurangnya dapat membantu pengendali bas sekolah menampung perbelanjaan bulanan seperti selenggara dan pembelian alat ganti. Namun begitu SPAD menetapkan hanya bas sekolah berusia kurang dari 20 tahun sahaja layak menyertai projek ini.

Kalau diikutkan, syarat yang dikenakan oleh SPAD tampak longgar. Ia bagi memastikan lebih ramai pengendali dapat menerima manfaat projek ini. Namun tidak bermakna pengendali boleh ambil mudah tentang kondisi dan keselamatan bas sekolah masing-masing.

Selain daripada itu, SPAD turut menekankan supaya pengiklanan perlulah mengikut piawaian dan peraturan yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan. Kehadiran bermacam-macam jenis skim dan bantuan ini menunjukan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat. 

Skim pengiklanan pada bas sekolah ini bakal menjadi rebutan individu atau syarikat untuk dijadikan platform mempromosikan produk dan perkhidmatan. Cuba bayangkan sebanyak 15,000 bas sekolah beroperasi dan mesej iklan dapat disampaikan kepada sejumlah 5juta murid di seluruh negara. Itu belum lagi kita kira jumlah penduduk di sesuatu kawasan perumahan atau pengguna jalan raya yang lain. 

No comments:

Post a Comment