Ketibaan tahun kambing iaitu tahun baru cina kali ini memberi pelbagai harapan kepada seluruh rakyat Malaysia. Presiden MCA, DS Liow Tiong Lai turut melahirkan beberapa harapan atau hasrat dalam kelestarian negara dan demi generasi akan datang.
Tiga harapan yang dizahirkan beliau, yakni pertama, ingin melihat perpaduan dalam politik yang tampil menerusi kesederhanaan. Kedua, ingin melihat kejayaan ekonomi demi pembangunan negara yang mampan. Ketiga, mengukuhkan pendidikan bagi melahirkan lebih banyak modal insan dalam negara.
Harapan-harapan yang disuarakan oleh beliau ini perlu dinilai secara holistik dan tidak hanya tertumpu kepada kepentingan peribadi sesuatu kaum, individu, jantina, umur mahupun sesebuah parti politik. Pada pandangan perisik, harapan yang dinyatakan oleh Tiong Lai ini adalah bersandarkan isu-isu yang berlaku dan ianya saling berimbang.
Cuba kita lihat pola politik negara kini yang dicemari dengan fahaman pelampau seperti sewenang-wenangnya memperlekehkan antara agama dan bangsa atas kepentingan politik.
Secara sedar atau tidak, generasi muda kita pula telah disajikan dengan persekitaran negatif seolah-olah menjadikan caci, hina dan nista ini sebagai sebahagian dari cara hidup. Corak pemikiran ini sudah tentu menyukarkan perpaduan sesama rakyat apatah lagi dalam berpolitik.
Tanpa perpaduan, hala tuju untuk menjadikan negara sebagai sebuah ekonomi yang berjaya sudah pasti sukar. Setiap langkah diambil untuk kemajuan negara ada sahaja hendak dicari kelemahannya.
Kelemahan yang kecil itu pula dipolitik secara berlebihan sehingga menenggelamkan seribu kebaikan yang ada. Akhirnya kita terus keterbelakang dalam segala segi.
Pendidikan yang ada kini juga akan terus diperkasakan seiringan dengan peredaran masa bagi memastikan negara memiliki modal insan berkualiti dan mampu mencurah bakti kepada negara dengan ilmu yang ada.
Dengan ilmu yang betul, kita mampu melahirkan masyarakat yang bertoleransi dan saling hormat menghormati atara satu sama lain. Kita mahukan generasi berfikiran kritis bukan yang hanya tahu mengkritik membuta tuli.
No comments:
Post a Comment