Sebelum ini sudah banyak inisiatif digerakkan oleh kerajaan bagi memartabatkan institusi pondok di negara ini. Malah ada juga guru sekolah pondok mendapat pengiktirafan sewajarnya sebagai tenaga pembimbing yang jelas berjasa kepada masyarakat setempat.
Kali ini keprihatinan kerajaan terhadap institusi pondok terus diperhebatkan dengan tertubuhnya Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM). Tujuan koperasi baharu ini ditubuhkan adalah bagi memastikan kelangsungan institusi pondok dari segi kewangan dan meningkatkan kemampuan untuk membantu para ahlinya.
Pembentuk koperasi ini adalah hasil perbincangan bersama ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok (YPPM). Dato Dr Mashitah Ibrahim yang merupakan Pengerusi Eksekutifnya menjelaskan pada peringkat awal, beberapa syarat perlu dilakukan bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Oleh itu, satu mesyuarat agung akan dijalankan pada 28 Februari ini bagi memberi penerangan tentang tujuan, matlamat, hala tuju dan aktiviti kepada para ahli. Perkara mengenai yuran dan nilai saham turut dibawa ke meja rundingan nanti. Mesyuarat agung itu bakal dipantau oleh pegawai SKM bagi melicinkan perjalanan penubuhan koperasi ini.
Walaupun koperasi baru hendak bertapak, sudah ada suara-suara sumbang dari beberapa institusi pondok yang memandang serong usaha murni ini. Perlu dijelaskan bahawa kehadiran YPPM adalah untuk membantu dan memastikan sekolah-sekolah pondok di negara ini terus beroperasi dan dibawa ke tahap lebih tinggi.
Kita tahu majoriti institusi pondok ini menghadapi kekangan kewangan bagi meneruskan operasinya. Masih terdapat banyak sekolah pondok di kawasan pedalaman yang tidak memiliki kemudahan yang sempurna seperti ruang belajar yang selesa, kekurangan bahan rujukan, tiada bekalan elektrik dan tiada air bersih.
Maka idea penubuhan koperasi untuk institusi-institusi pondok ini merupakan usaha tepat bagi membawa institusi pondok ini keluar dari kepompong masalah ini. Beberapa cabang pendapatan dapat dijana melalui koperasi ini sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan pihak luar.
Cabang pendapatan ini masih perlu dikaji dengan lebih teliti bagi memastikan muamalatnya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Kemungkinan perlantikan Penasihat Syariah akan dipertimbangkan oleh pihak KPPM supaya setiap muamalat atau pelaburan koperasi bertepatan dengan nilai syarak.
Perkara ini perlu diperincikan lagi bagi memastikan pendapatan koperasi jelas dari sumber yang sah dan berkat. Bila ini dilakukan, sudah tentu lebih ramai warga sekolah pondok bertambah yakin untuk turut serta dalam KPPM.
No comments:
Post a Comment