Wednesday, February 25, 2015

PETEKMA Puas Hati Penglibatan SPAD Dalam Perbaiki Industri Teksi


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sememangnya komited dalam memastikan transformasi pengangkutan awam selari dengan kehendak dan keperluan pengendali, pemandu teksi dan pengguna. Kesungguhan ini ditunjukkan dengan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dilakukan bersama beberapa pertubuhan teksi di negara ini.

Baru-baru ini satu mesyuarat telah diadakan oleh Pertubuhan Teksi Malaysia (PETEKMA) bagi membincangkan langkah penambahbaikan serta isu-isu berbangkit iaitu peningkatan kos dan pendekatan yang boleh dilakukan bagi meminimumkan kesan kenaikan harga ini.


Selain daripada itu isu UBER iaitu perkhidmatan aplikasi mengambil dan menurunkan penumpang menggunakan kenderaan peribadi turut diutarakan. Di sini SPAD secara tegas tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas kenderaan persendirian yang dijadikan pengangkutan awam. 

Perkara ini telah dibuktikan dengan beberapa siri operasi khas telah dijalankan penguatkuasa SPAD bagi membanteras kegiatan kenderaan-kenderaan yang beroperasi tanpa permit atau melanggar peruntukan syarat pengendali  tidak kira dari perkhidmatan applikasi UBER, GRAB CAR dan BLACK LANE.


Antara yang menarik dalam perbincangan adalah idea untuk menubuhkan satu yayasan bagi menjaga kebajikan golongan pemandu teksi dan keluarga mereka yang merangkumi pembiayaan pelajaran dan perumahan. Kemungkinan satu koperasi juga boleh dipertimbangkan oleh pihak SPAD sebagai tambah nilai dalam industri teksi.


Perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai semakan kadar tambang yang bakal dilaksanakan dalam jangkamasa terdekat. Mesyuarat turut membincangkan mengenai kemungkinan memberikan kelonggaran terhadap model kenderaan yang digunakan di bawah skim TEKS1M.

PETEKMA juga dengan konsistem meneruskan usaha  bagi menggalakkan ahli mereka untuk mematuhi peraturan pengangkutan awam darat seperti menggunakan meter. Pihaknya juga akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap industri teksi.

PETEKMA percaya bahawa pihak kerajaan dan SPAD perihatin terhadap permasalahan dan isu-isu yang dihadapi oleh industri teksi. PETEKMA juga amat berpuas hati dengan komitmen dan penglibatan berterusan SPAD untuk mengadakan sesi dialog bersama persatuan teksi yang membuka jalan untuk berkongsi permasalahan dan isu-isu yang dihadapi oleh pemandu teksi

No comments:

Post a Comment