Tuesday, May 28, 2013

Kekeliruan Teksi Bandar Di KLIA!!!

Setelah teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 15 Mei lalu, berpusu-pusu pemandu teksi bandar mula memasuki KLIA untuk menerima penumpang seawal 6 pagi!

Kemasukan teksi bandar ini akan diseragamkan di bawah satu sistem yang dikenali sebagai Sistem 2-peringkat (Sistem 2-Tier). Di mana teksi bandar akan mengikut sistem pengurusan giliran dan bayaran tambang adalah mengikut meter.

Sistem 2-peringkat ini masih dalam tempoh percubaan selama tiga bulan, namun begitu beratus-ratus respon positif dari kalangan pemandu teksi bandar serta pengguna sudah diterima dan ini menunjukkan langkah transformasi pengangkutan awam di KLIA oleh SPAD berada di landasan yang betul.

Akan tetapi baru beberapa minggu beroperasi, timbul pula rungutan di kalangan pemandu teksi bandar yang mendakwa tidak menerima sebarang penumpang dari 8 pagi hingga 4 petang! 

Masakan tidak, mereka dihebahkan bahawa KLIA menerima sejumlah kemasukan 25,500 pelancong sehari. Tetapi apa yang berlaku tidak seperti yang diwar-warkan.

Ternyata apa yang dirungutkan ini hanyalah kekeliruan dikalangan pemandu teksi. Kerana angka yang disebutkan 25,500 sehari merupakan satu nilai PURATA dari kemasukan penumpang KLIA yang seramai 9.3 juta setahun. 

Ini bermakna, jumlah tepat harian penumpang adalah berbeza mengikut musim. Dalam satu-satu masa KLIA ada menerima kurang 10,000 penumpang, adakalanya melebihi 50,000 penumpang sehari!

Maka masalah timbul apabila segelintir pemandu teksi beranggapan bahawa KLIA sentiasa atau tiap-tiap hari mempunyai kadar penumpang yang tinggi.  Anggapan ini menyebabkan kebanjiran teksi bandar dan terjadilah lebihan penawaran daripada permintaan teksi di KLIA.  

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal memberitahu,
"SPAD sedang mengumpulkan maklumat bagi mengenal pasti corak permintaan teksi di KLIA bagi memberi gambaran terhadap waktu menunggu kepada pemandu-pemandu teksi bandar supaya mereka dapat mengurus operasi mereka dengan lebih efektif".


Ketua Pegawai Eksekutif SPAD - Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
"Suruhanjaya akan sentiasa berusaha mencari sistem dan mekanisma terbaik untuk mewujudkan ‘situasi menang-menang’, untuk penumpang dan pemandu teksi.  Segala masalah dan kesulitan akan dikaji dan ditambah baik dalam masa akan datang, sebelum KLIA2 beroperasi kelak." Tambah Nur Ismal lagi.

Sementara itu, SPAD akan bekerjasama rapat dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk menyediakan risalah, ‘bunting’  dan juga pengumuman dari masa ke semasa kepada pengguna KLIA mengenai perkhidmatan teksi bandar bermeter ini.

Akhir sekali, SPAD ingin mengingatkan para pemandu teksi bandar yang ingin beroperasi di KLIA tidak dibenar sama sekali memilih-milih penumpang berdasarkan destinasi mereka. 

Ini berikutan ada candangan diutarakan supaya teksi bandar ini HANYA mengambil penumpang yang mahu ke ibu negara dan bukannya ke lokasi berdekatan seperti Sepang, Puchong dan Subang Jaya yang tambangnya rendah.

Jika perkara ini diterimapakai, ia akan menjadi satu trend perkhidmatan teksi yang tidak sihat dan sekaligus bertentangan dengan langkah transformasi di KLIA. Perkara ini juga secara tidak langsung menafikan hak pengguna untuk mendapat pilihan perkhidmatan teksi bandar yang lebih ekonomikal.

No comments:

Post a Comment