Sunday, March 16, 2014

Pulanglah MH370!!


Sehingga ke hari ini seluruh dunia tertanya-tanya kemana menghilangnya kapal terbang MAS MH370. Jika terhempas dimana serpihan atau sisanya. Jika dirampas sehingga ke hari ini tiada sebarang tuntutan dilakukan oleh orang yang bertanggungjawab.

Dalam kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib di Sepang pada 15/3/2014 sedikit sebanyak memberi gambaran tentang kehilangan MH370. Walaupun ianya masih samar-samar tapi sudah cukup membina pelbagai andaian apabila semakin banyak maklumat dihimpunkan.

Dari kenyataan terbabit, PM menyebut bahawa transponder telah dimatikan dari dalam dan kapal terbang telah berubah arah. "..pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada dalam pesawat itu."

Berikut adalah kenyataan media penuh PM yang telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia:
Tujuh hari lepas, pesawat MH370 milik Malaysia Airlines telah hilang. Kami sedar ini merupakan masa yang cukup sukar bagi ahli keluarga mereka yang berada di dalam pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keperitan yang mereka lalui. Doa dan fikiran kami sentiasa bersama mereka.
Saya sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan misi mencari pesawat itu. Pada peringkat awal operasi, saya telah mengarahkan kawasan carian diperluaskan; dan saya telah mengarahkan pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang dianggap relevant secara telus dengan pasukan penyiasatan yang terlibat; dan saya telah memohon agar rakan dan pihak bersekutu kita untuk turut sama menyertai operasi ini.
Sehingga kini, 14 negara dengan kekuatan 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam misi mencari ini. Saya ingin melahirkan penghargaan saya terhadap semua kerajaan di atas pertolongan mereka yang sangat bernilai dalam masa-masa seperti ini.
Sejak hari pertama lagi, pihak berkuasa Malaysia telah bekerja sama rapat bersama rakan-rakan yang terlibat - termasuk negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan juga pasukan mencari multinasional - yang mana misi ini telah mereka mulakan sejak hari Ahad lagi.
 
Kami sudah berkongsi maklumat dari masa ke semasa bersama pihak berkuasa yang mempunyai pengalaman yang luas untuk mentafsir data-data ini. Kami telah bekerja tanpa henti bagi membantu penyiasatan. Dan kami telah mengutamakan misi mencari penerbangan yang hilang, lebih dari kepentingan keselamatan nasional.
Perkara ini sudah kita sedia maklum bahawa ia adalah satu situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami telah mengendalikan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, di Selat Melaka, di Laut Andaman dan juga di Lautan Hindi. 
Di setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang mempunyai kredibiliti serta telah disahkan terlebih dahulu. Ada masanya maklumat ini tidak membawa kami ke mana-mana.Terdapat spekulasi berkaitan kejadian ini. Kami faham keperluan yang mendesak untuk mencari maklumat terkini bagi pihak keluarga dan mereka yang sedang memerhatikan isu ini di seluruh dunia. 
Tetapi kami mempunyai tanggungjawab besar terhadap penyiasatan dan anggota keluarga hanya akan diberikan maklumat terkini yang mempunyai asas yang kukuh. Motivasi utama kami masih terhadap keperluan mencari kapal terbang itu.
Pada peringkat pertama misi mencari, kami telah berusaha menjejaki kawasan di mana kedudukan MH370 kali terakhir di kesan, iaitu di Laut China Selatan. Pada masa sama, kami telah difahamkan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bahawa berdasarkan radar utama mereka, sebuah pesawat, yang mana identitinya tidak dapat disahkan pada masa itu, telah melakukan berpatah balik.
Data dari radar utama itu menunjukkan pesawat itu telah melalui laluan penerbangan ke arah utara Selat Melaka. Berdasarkan maklumat ini, yang mana telah disokong oleh pihak berkuasa antarabangsa yang berkaitan, kami telah memperluaskan misi mencari ke Selat Melaka, sehinggalah Laut Andaman.
Awal pagi ini, saya telah diberi taklimat oleh pasukan penyiasat - termasuklah Federal Aviation Administration (FAA), National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB), pihak berkuasa Malaysia serta pemangku Menteri Pengangkutan mengenai maklumat baru yang memberikan kita petunjuk terhadap apa yang berlaku ke atas pesawat MH370.
Berdasarkan maklumat baru dari satelit, kami boleh katakan ini dengan keyakinan tinggi bahawa Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) telah dinyahaktifkan sebelum pesawat itu menghampiri pantai timur Semenanjung Malaysia. Tidak lama kemudian, berhampiran sempadan kawalan udara trafik Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu telah dimatikan.
Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputan radar utama, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada dalam pesawat itu.
Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370. 
Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan,
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB) dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama
Berdasarkan data baru, kali terakhir proses komunikasi di antara pesawat dan satelit itu ialah pada pukul 8:11 pagi waktu Malaysia pada hari Sabtu 8 Mac. Pasukan penyiasat kini sedang melakukan kiraan untuk mencari indikasi sejauh mana pesawat itu mungkin mampu terbang sejurus selepas kali terakhir ia berhubung. Ini pasti akan membantu kita memperkemaskan proses pencarian.
Namun, oleh kerana jenis data satelit itu, kami masih belum dapat mengesahkan lokasi tepat kapal terbang itu ketika kali terakhir ia terhubung dengan satelit.
Walaubagaimanapun, berdasarkan data baru ini, pihak berkuasa penerbangan di Malaysia serta rakan sejawat antarabangsa mereka yakin kali terakhir pesawat itu terhubung dengan salite ialah di antara salah satu dari dua koridor, iaitu koridor utara yang menganjur lebih kurang dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand atau koridor selatan yang menganjur dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan maklumat terbaru ini, pihak berkuasa Malaysia telah mengarahkan fokus penyiasatan mereka ke atas kru dan penumpang pesawat itu. Di sebalik laporan media bawah pesawat itu telah dirampas, saya ingin menjelaskan di sini: kami masih menyiasat segala kemungkinan sehingga menyebabkan pesawat itu tersasar dari laluan asalnya.
Maklumat satelit yang terbaru ini mempunyai impak yang signifikan daripada segi sifat dan skop operasi mencari. Oleh itu kami akan menghentikan usaha mencari di Laut China Selatan dan kami akan menilai semula keperluan dalam menggerakkan segala aset kami. Kami sedang bekerja rapat dengan negara yang relevan untuk meminta maklumat yang berkaitan dengan misi mencari, termasuk data radar. 
Oleh kerana dua koridor ini melibatkan banyak negara, Kementerian Luar negeri dan pakar teknikal telah menjemput kesemua duta asing dari negara yang terlibat untuk diberi taklimat mengenai maklumat erbaru ini. Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar untuk memberi taklimat penuh kepada negara yang mana warganegara mereka turut hilang dalam penerbangan itu. Dan pagi ini Malaysia Airlines telah pun memamklumkan keluarga kepada kru dan penumpang mengenai perkembangan terbaru ini.
Nyata sekali, pencarian pesawat MH370 telah memasuki satu fasa baru. Dalam tujuh hari ini, kami telah mengikut segala jejak dan melihat segala kemungkinan. Dan untuk keluarga dan rakan, kami harap maklumat baru ini dapat memberikan satu lagi langkah ke hadapan  untuk menjejaki kembali pesawat ini.

Sudah terlalu lama menghilang, dunia khususnya rakyat Malaysia resah, gelisah memikirkan nasib anak kapal, penumpang terutamanya dua bayi yang terlibat. 


Pulanglah MH370

No comments:

Post a Comment