Wednesday, December 16, 2015

Perlaksanaan BNR! Keluh Kesah dan Kisah!


Ramai yang mengeluh dengan sistem baru Penyusunan Perkhidmatan Bas (BNR) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD). Perubahan besar yang berlaku adalah syarikat bas lain memgambil alih laluan syarikat bas sedia ada. Kalau aku cakap Perubahan perlukan Pengorbanan. Nanti ada yang marah pula. Cuba kita fahami dan berlapang dada untuk menilai dari beberapa sudut lain. 

Respon keluhan begini memang dijangka apabila sesuatu proses atau rombakan besar-besaran dilakukan. Sistem BNR ini menempatkan Syarikat bas tertentu dilaluan tertentu sahaja. Ia adalah persetujuan bersama antara syarikat-syarikat pengendali dengan SPAD. Penetapan ini adalah mengikut kemampuan syarikat pengendali terutamanya dari segi jumlah bas dan juga mesti memenuhi syarat-syarat ketat SPAD.

Sistem sebelum ini terlalu banyak pertindihan dan pembaziran sumber kerana terlalu banyak Syarikat memberi khidmat dilaluan sama. Ada yang sehingga 3-4 syarikat di laluan sama. Kek ekonomi perkhidmatan bas menjadi terlalu kecil untuk memberi pulangan keuntungan kepada syarikat-syarikat bas. Kesan jangka panjangnya amat berat apabila ada kalangan syarikat mula mengalami rugi dan gulung tikar.

Kesan domino ini sudah tentu terpalit kepada pengguna apabila syarikat bas terjejas kewangannya. Bila kewangan terjejas, sebahagian kakitangan syarikat pengendali terpaksa diberhentikan dan jadual berkala selenggara bas pula terpaksa dijarakkan bagi mengawal kos. Strategi ini hanya berkesan untuk tempoh pendek.

Jika berterusan, jadual perjalanan tidak dipenuhi dan kekerapan mula berkurang kerana kekurangan kakitangan terutama pemandu bas. Kesannya sudah tentu memanjangkan tempoh menunggu pengguna. Selenggara yang tidak mengikut jadual lebih memburukkan keadaan bila bas dinaiki rosak tengah jalan. Lagi sekali masa pengguna terbuang.

"Tapi kini, syarikat yang sedang beroperasi ini lebih teruk bila BNR dilaksanakan! Lewat! Dan bas pula buruk!"

Seperti disebut perubahan perlukan pengorbanan. Keadaan yang sedang dilalui oleh sesetengah pengguna ini adalah bersifat sementara. Kerana SPAD telah menetapkan syarat supaya beberapa syarikat menambah jumlah bas dan memperbaiki mutu untuk memenuhi permintaan dilaluan baru mereka.

Gagal penuhi syarat ketat ini, khidmat syarikat pengendali terbabit dilaluan terbabit berkemungkinan besar akan ditamatkan dan diganti dengan syarikat pengendali yang lain. Tapi definisi sementara jangan ditafsir ianya 2-3 hari atau minggu. Kerana proses pembelian bas dari sudut perjanjian dengan syarikat pembuat bas ada yang mengambil masa 3-4 bulan. Ia sesuatu diluar kawalan pihak pengendali dan SPAD.

Melihat kepada situasi ini pihak SPAD telah membuat penambahan sebanyak 50 buah bas ke beberapa laluan yang terjejas. Bantuan ini akan dikurangkan berperingkat-peringkat sejajar dengan penerimaan bas baru oleh syarikat pengendali yang dibeli. Langkah penyusunan ini akan mula menampakkan kesan positif selepas itu. Malahan beberapa laluan lain mendapat pujian dikalangan pengguna.

Beri peluang, beri ruang, beri sokongan kerana perkhidmatan melalui BNR ini adalah demi kebaikan bersama. Insha Allah!

No comments:

Post a Comment