Melihat kepada trend pasaran halal dunia yang mencecah USD2.3 trillion, telah menarik minat ramai pengusaha dan pengeluar produk tempatan di negara ini. Ramai mula peka dan giat mempelajari tentang kriteria halal sekaligus memohon untuk mendapatkan sijil serta logo halal bagi produk mereka.
Ia merupakan satu langkah penting bagi mencebur diri dalam pasaran halal global. Dengan sijil ini dijangka memberi keyakinan negara-negara Islam lain untuk menerima produk Malaysia tanpa ragu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong menekankan usaha bagi mempromosikan sijil logo halal Malaysia ke luar negara terutamanya China, India dan Timur Tengah. Cadangan ini dinyatakan beliau di dalam Forum Halal 2016 bertempat di Menara Usahawan, Putrajaya petang tadi.
Ia merupakan satu usaha bagi merebut pasaran yang besar di negara terbabit seperti China yang mempunyai jumlah penganut Islam yang melebihi jumlah populasi rakyat Malaysia. China juga giat mencari peluang dan ruang untuk menembusi pasaran halal dengan negara Islam dan Arab menerusi perjanjian perdagangan dua hala.
Jalinan pasaran halal Malaysia-China ini tidak mustahil, memandangkan kita sudahpun menggerakkan inisiatif "One Belt One Road" yang bertujuan menghidupkan semula "Laluan Sutera" yang pernah menjadi laluan penting perdagang Islam satu masa dahulu.
"China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama enam tahun berturut-turut dan hasil dagangan kedua negara ini melebihi US100 billion dua tahun berturut-turut. Maka produk-produk halal mesti memainkan peranan utama dalam hal ini." Jelas Ka Siong.
Jumlah hasil dagangan yang besar ini sudah tentu memberi manfaat buat ekonomi negara kita. Jika inisiatif mempromosi sijil halal ini direalisasikan, ia sudah tentu mampu meningkatkan lagi pulangan ekonomi serta mengeratkan lagi hubungan perdagangan dua hala Malaysia-China.
Antara yang hadir di Forum Halal 2015 adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mustapha Mohammed yang melancarkan majlis hari ini. Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Dato Seri Jamil Khir Baharom yang hadir memberi penjelasan terperinci mengenai Halal memandangkan JAKIM berada di bawa seliaan beliau.
No comments:
Post a Comment