Friday, December 25, 2015

FGV: Sisa Bio Sawit Jadi Plastik


Itulah bidang yang akan diceburi FGV dalam mempelbagaikan portfolio perniagaannya. FGV bakal menjadi salah sebuah pengeluar plastik mesra alam utama di Malaysia. Plastik mesra alam atau terbiodegrasi ini akan dihasilkan daripada sisa buangan biojisim dari kilang-kilang pemprosesan minyak sawit Felda seluruh negara.

Perjanjian kerjasama juga telah dimeterai dengan syarikat Newlight Technologies LLC dan Innogas Technologies Sdn Bhd bagi menjayakan usaha FGV dalam mengurus sisa sawit Felda. Ini memaksimumkan penggunaan sawit yang bukan sekadar untuk minyak masak semata-mata.

Kesungguhan FGV melibatkan diri dalam industri ini, dapat dilihat apabila 10 buah kilang dicadang bagi tujuan pengeluaran produk plastik ini. Perancangan 5 tahun bagi projek ini sudah dirangka dan kilang pertama akan mula pembinaan hujung tahun hadapan dan dijadualkan siap selepas 14 bulan.

Projek ini menunjukkan keprihatinan Felda dalam memelihara kelestarian alam sekitar. Umum tahu sampah plastik kebiasaannya tidak terurai dan mampu kekal dalam 90% struktur asal sehingga beratus malah beribu tahun lamanya. Dengan teknologi dibawa masuk FGV ini, ia mampu terurai lebih cepat sekaligus mengelak pencemaran.

Kesedaran rakyat dalam menjaga alam sekitar masih lemah. Sehingga hari ni masih ramai tidak dapat mengelakkan diri dari menggunakan beg plastik biasa. Kempen hari tertentu tanpa plastik seperti melepaskan batok di tangga. Sebab ada yang mengelak dari membeli belah pada hari tersebut.

Jadi kemasukan teknologi ini dilihat mampu memberi keseimbangan dalam memelihara alam sekitar dan memenuhi kehendak pengguna. Yakni penggunaan plastik dapat diteruskan, tapi mestilah hanya daripada jenis plastik yang mudah terbiodegrasi.


No comments:

Post a Comment