Monday, December 29, 2014

Banjir!! SPAD: Pemulihan Berperingkat Pengangkutan Awam Darat Pantai Timur




Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut bersimpati dengan nasib rakyat yang terlibat dalam banjir di Pantai TImur. Ada yang terputus bekalan makanan kerana jalanraya dan landasan keretapi dilimpahi air serta tanah runtuh sekaligus melumpuhkan medium pengangkutan darat di sana.

SPAD telah pun mula menggerakkan usaha dengan beberapa agensi-agensi berkaitan bagi memulihkan semula perkhidmatan awam darat terutama di kawasan terjejas di laluan Pantai Timur. Bencana banjir kali ini telah mengakibatkan kesan kerosakan yang teruk terutamanya pada struktur landasan keretapi.


Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menyatakan tarikh tepat bila perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sektor Pantai Timur akan pulih seperti sedia kala, memandangkan kerja-kerja pembaikan kerosakan infrastruktur masih belum dapat dicapai sepenuhnya.

Pelan pemulihan telah dirangka oleh SPAD bersama KTMB bagi mengenal pasti bahagian serta lokasi sebenar serta jenis kerosakan yang dialami dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sewajar untuk memperbaikinya.

Melihat kepada bencana kali ini, jumlah kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh KTMB dijangka mencecah jutaan ringgit. Di sini SPAD akan meneliti segala aspek sama ada menyalurkan dana bagi mempercepatkan proses pemulihan infrastruktur yang terjejas.




Manakala, bagi perkhidmatan bas eskpres laluan Pantai Timur pula telah terhenti pada 24hb Disember bagi beberapa laluan daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Namun pada 26hb Disember laluan bas ekspres ke Pantai Timur telah dihentikan sepenuhnya  bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Bahru dan Terengganu.

Walaubagaimanapun, laluan Kuala Lumpur ke Kuala Terenganu masih dibuka melalui Seremban dan Muadzam Shah. SPAD telah membenarkan Pengusaha bas ekspres untuk menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi yang dituju.

Untuk makluman, perkhidmatan kereta sewa di bandar-bandar di Kelantan dan Terenganu telah juga terjejas. Perkhidmatan kereta sewa dan bas ekspres ini akan hanya disambung semula bergantung kepada keadaan cuaca di setiap laluan yang terlibat.

SPAD ingin mengambil peluang untuk mengingatkan semua pengusaha untuk senantiasa mengutamakan keselamatan diri dan penumpang semasa perjalanan. Penumpang pula diminta untuk mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan makluman yang diberikan oleh pengusaha dari masa ke semasa.


No comments:

Post a Comment