Friday, December 26, 2014

Pudu Sentral Sarang Ulat Tiket



Pudu Sentral bukan lagi sekadar lokasi tempat menurun dan mengambil penumpang seperti sebelum ini. Kini ia gah sebagai pusat pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Imegresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Tekun Nasional, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bermacam-macam lagi untuk kemudahan rakyat.

Malangnya dalam kepelbagaian kemudahan serba lengkap ini dicemari dengan kehadiran ulat tiket yang berselerakan di sekitar Pudu Sentral ini. Dalam tinjauan baru-baru ini, ada juga di antara ulat-ulat ini bernaung di bawah pengendali-pengendali bas ekspres yang ingin mengaut keuntungan melampau.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui unit penguatkuasaan telah berulang kali melakukan risikan dan operasi khas bagi membendung kegiatan ulat tiket ini. Namun ulat-ulat ini masih bertapak malah ada juga pesalah tegar yang ditahan beberapa kali oleh SPAD dalam operasi berasingan.

Menurut Pengurus Besar Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, sebanyak 841 kes dengan pelbagai kesalahan pengangkutan awam darat direkodkan di Pudu Sentral. Angka ini adalah untuk tahun ini sahaja! Dari jumlah tersebut, 44 kes membabitkan kesalahan ulat tiket.

Kesalahan-kesalahan lain pula melibatkan pengendali bas seperti tiada lesen, tidak pamer lesen, tidak pames jadual tambang, serta mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.

“Kesemua kes kini dalam proses dibawa ke timbalan pendakwa raya untuk diadili. Bagi kes ulat tiket, disiasat bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat, jika sabit salah, denda RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi lain-lain kes, disiasat bawah Seksyen 22, dan jika sabit kesalahan boleh denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih 500,000 atau penjara tak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” Kata Che Hasni dalam sidang media selepas operasi khas di Pudu Sentral baru ini.

Dalam operasi ini, sebanyak 10 ulat tiket berumur antara 20 hingga 39 tahun berjaya ditahan. Operasi khas ini dilakukan selama dua hari secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Orang ramai diingatkan untuk lebih berhati-hati dan bertegas menolak bila dihampiri oleh individu yang cuba menjual tiket di kawasan terbuka. Dapatkan tiket di kaunter-kaunter yang tersedia dengan nama syarikat pengendali. Pastikan tiket yang dibeli mempunyai nama syarikat pengendali yang jelas dan tertera harga yang telah dibayar.


Jika resit diberikan tidak tertulis sebarang harga dan nama syarikat tidak selari dengan bas yang dinaiki. Berkemungkinan anda merupakan mangsa penipuan sindikit ulat tiket. Bila ini berlaku, jangan bertangguh untuk melaporkan kepada pihak SPAD di talian 1-800-88-7723.

Simpan bukti pembayaran dan catitkan nombor pendaftaran bas yang anda naiki, nama syarikat bas dan paling baik ambil sebanyak mungkin gambar (gambar resit, pemandu, nama syarikat tertera di badan bas, resit penumpang lain dll) yang dirasakan dapat membantu SPAD dalam melakukan pendakwaan terhadap pesalah. 

No comments:

Post a Comment