Tuesday, November 25, 2014

YPPM Martabat Ilmuwan Pondok


Sekolah pondok sering kali digambarkan sebagai institusi yang mundur, daif dan ketinggalan zaman. Namun apa yang dinilai pada luaran, tidaklah sama dengan apa yang tersirat di dalamnya. Kerana luar berlumpurnya cengkerang, tersingkap mutiara menanti untuk dituai.

Begitulah hakikatnya institusi pondok ini, dalam serba kekurangan masih mampu melahirkan ramai ilmuwan dan agamawan yang sedia mencurahkan bakti. Walaupun terasing dari Pelan Pendidikan Nasional, entiti ini memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dan perkembangan intelektual bangsa.


Akan tetapi produk berkualiti yang lahir dari institusi pondok kini tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya di dalam masyarakat. Kelulusan yang mereka ada tidak sejajar dengan graduan-graduan universiti atau kolej. Ini kerana sistem pendidikan pondok ini tidak mengikuti sistem pelajaran semasa.

Di Pondok, tiada had umur penuntut yang ingin mengikuti kelas dan tidak perlu menduduki SPM atau STPM, bermakna tiada sebarang sijil, diploma atau ijazah bagi menunjukkan tahap pendidikan yang diperolehi. Tempoh belajar juga tiada hadnya.

Ini menunjukkan kerangka dan peringkat pembelajaran di sekolah pondok tidak jelas sama sekali. Keadaan ini telah menyempitkan peluang penuntut untuk mendapatkan pekerjaan. Kesudahannya penuntut institusi pondok terpinggir dari kepesatan pembangunan.

Satu kerugian besar apabila bakat-bakat ilmuwan dan agamawan tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh negara. Dalam keadaan sekarang ini, Islam sering diuji dan diperlekeh seperti isu murtad, program sentuh anjing, hina puasa, hina Nabi, kalimah ALLAH dan lain-lain.

Malangnya yang laju menjawab pula terdiri daripada 'ustaz' dan 'ustazah' celup yang tidak mampu memberi hujah dengan tepat. Perkara yang keruh menjadi lebih parah dengan penjelasan golongan begini. Sebaiknya kita serah pada yang AHLI!

Oleh yang demikian, Ilmuwan institusi pondok inilah yang paling layak menjadi benteng dari serangan serta memberi penjelasan akan hal yang sengaja ditimbulkan oleh pihak musuh. Hanya dengan hujahan yang berilmiah berlandaskan AlQuran dan Hadis sahaja dapat mematahkan fitnah.
Bagi merealisasikan hasrat ini, Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang di Pengerusikan oleh Dato Dr Mashitah Ibrahim tampil merangka beberapa inisiatif dalam memajukan institusi ini. Pada peringkat permulaan, sekolah-sekolah pondok ini dikehendaki mendaftar dengan yayasan bagi membolehkan orang ramai tahu akan kewujudannya.

"Mereka tak perlu bimbang bila mendaftar akan ada campurtangan. Tak ada siapa nak campurtangan. Duduklah macam mana pun. Kita nak buat kerja baik. Tapi bila dah daftar senang nak kenal pasti lokasi sekolah supaya boleh periksa apa keperluan mereka nak." kata Mashitah

Seterusnya adalah membentuk satu sistem pembelajaran bagi mewajibkan penuntut menduduki peperiksaan. Dengan cara ini barulah dapat melihat tahap pencapaian individu-individu penuntut. Kelulusan yang diperolehi nanti mampu membuka lebih ruang untuk mendapatkan pekerjaan.

1 comment:

  1. Salam, jika tak keberatan boleh saya tahu sekolah pondok ini dimana dan bagaimana cara saya nak berhubung dengan pengasasnya??

    ReplyDelete