Melihat kepada senario ekonomi semasa yang tidak menentu membuatkan dua golongan (pendapatan rendah dan sederhana) ini semakin tersepit kerana ia menghadkan kuasa beli mereka.
Kenaikan ini belumlah dimuktamadkan, kerana ianya perlu melalui beberapa proses dan kelulusan di peringkat kabinet untuk diperhalusi. Permohonan ini telah dibuat Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) dan disyorkan pula oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk pertimbangan pihak kerajaan.
Mulalah yang berbulu dengan SPAD kerana mencadangkan kadar kenaikan ini. Bukan hendak berpihak kepada mana-mana. Kerana hebahan berita-berita kenaikan ini hanya menyentuh satu sudut sahaja. Iaitu pada sudut keluhan rakyat atau pengguna.
Bagaimana pula dengan keluhan pengusaha dan pengendali bas?! Apakah golongan ini tidak layak untuk mendapatkan hak mereka? Adakah kita hanya memikirkan kepentingan sendiri tanpa memedulikan golongan yang lain?!
Di sini, Perisik ingin mengajak pembaca melihat skop yang lebih luas iaitu dengan mengambil kira sudut pengusaha dan pengendali bas ekspres pula. Mungkin ramai tidak sedar akan situasi dan keadaan golongan ini.
Untuk makluman kadar kenaikan yang dipohon oleh PMBOA ini bukanlah sesuatu yang baharu. Kerana pihak persatuan ini telah membuat permohonan beberapa kali kepada SPAD namun tidak mendapat kelulusan kabinet.
Kalau diselidiki perkara ini, pihak persatuan juga ada membuat permohonan kenaikan 30% pada Mei 2013. Akan tetapi tidak mendapat persetujuan kabinet. Ketika itu kadar yang dibenarkan oleh pengusaha bas hanyalah surcaj 10% itupun pada musim-musim perayaan. Selepas musim perayaan, kadar kembali normal.
Pada waktu itu, majoriti pengguna merasa lega tiada kenaikan. Tapi golongan pengusaha bas pula semakin tersepit dengan kos operasi, bahan api, selenggaraan yang semakin meningkat sehingga ada yang gulung tikar. Jika keadaan ini terus berlaku, industri pengangkutan bas ekspres negara bakal terjejas teruk.
Maka tindakan pengguna untuk menghalang kenaikan 30% secara total adalah tidak berperikemanusiaan kepada pengusaha bas ekspres. Namun begitu maklum balas pengguna tidak sekali-kali diketepikan oleh pihak SPAD.
Perisik menjangkakan kenaikan tidak akan drastik sehingga 30%. Ada beberapa idea dikemukakan adalah kenaikan sekitar 15-20% pada peringkat awalnya dan pada musim perayaan pula pengusaha bas dibenarkan mengenakan surcaj 10%. Jadi pada musim perayaan pengusaha akan terima kenaikan 25-30%.
Ini hanyalah sekadar cadangan. Sama-sama kita tunggu dan lihat apa keputusan yang bakal dikeluarkan oleh kabinet nanti.
No comments:
Post a Comment