Friday, November 21, 2014

Kebangkitan Institusi Pondok Bersama YPPM



Kerancakan institusi pengajian pondok ini dikesan bermula pada abad ke 18 dan telah berjaya melahirkan banyak tokoh-tokoh ilmuwan dan ulama tersohor tanah air. Golongan inilah yang menjadi tempat rujukan para pemimpin, raja dan sultan dalam urusan pentadbiran.

Akan tetapi, penjajahan British telah merubah pola kependidikan negara ini dengan penerapan sistem moden. Kemasukan sistem pendidikan penjajah ini sedikit sebanyak telah memperlahankan kemajuan institusi pondok.


Setelah merdeka, institusi pondok kembali menapak, tapi malangnya dicemari dengan idealisme ektremis dan ketaksuban melampau sehingga menjadi markas kegiatan jenayah.  Perkara ini telah menyebabkan ramai ibu bapa mula menjauhi sekolah pondok kerana bimbang pengaruh ektrimisme meracuni anak-anak mereka.

Pada hari ini, dianggarkan lebih 100 buah institusi pondok wujud di seluruh Semenanjung. Di Kelantan sahaja terdapat 39 buah pondok terkemuka seperti Pondok Ad-Diniah Albakriah, Pondok Lubok Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Genting.

Di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang juga terdapat hampir 30 buah pondok yang beroperasi antaranya, Pondok Telaga Panchor, Pondok Ahmad Nahudan Pondok Permatang Nibong. Terengganu pula miliki lebih kurang 12 buah pondok seperti, Pondok Darussalam, Pondok Paku dan Pondok Lubuk Pandan.

Namun begitu kesemua pondok ini membariskan silibus yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kepakaran tenaga pengajarnya. Ada pondok yang khusus kepada ilmu Tawhid, ada khusus kepada Fiqah, ada Usul Fiqh, Al-Quran dan lain-lain. Oleh yang demikian penuntut perlu berpindah ke pondok lain bagi mendalami ilmu yang dikehendaki.

Kewangan institusi pondok ini pada kebiasaannya terhad kerana kebanyakan daripada pondok ini tidak mengenakan sebarang yuran pengajian. Kalau dikenakan bayaran pun seikhlas hati penuntut. Sumber lain seperti Infaq, sedekah, wakaf dan zakatlah yang membantu operasi pondok untuk terus bertahan.

Selain itu, ada juga pondok ditunjangi oleh tuan guru yang merupakan pemimpin tunggal. Apa yang menjadi mudaratnya adalah apabila tuan guru tersebut meninggaldunia, tiada tenaga pengajar atau pelajar lain yang mampu meneruskan operasi pondok itu. Ini berlaku ke atas Pondok Pulai Chondong, Kelantan yang terkubur begitu sahaja setelah kematian pemimpinnya.



Kerajaan sedia maklum akan situasi dan kes-kes berkaitan institusi pondok ini. Sehubungan itu Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) telah ditubuhkan pada 1hb Ogos 2012 bagi melincinkan gerak kerja pembangunannya. YPPM ini merupakan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan penaung yayasan tersebut.



Difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin turut terlibat secara langsung dalam memastikan pentadbiran dan perjalanan YPPM berada di landasan yang betul. Kepercayaan dan penghormatan juga diberikan kepada Dato Dr Mashitah Ibrahim apabila dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif YPPM.

Penglibatan tiga nama besar ini menunjukkan betapa komited dan seriusnya Kerajaan dalam usaha memaju, membangun dan mengembangkan institusi pengajian pondok. Misi YPPM adalah memartabatkan dan memastikan keupayaan institusi pondok dalam melahirkan warga yang berilmu dan berwasatiyah.


Tidak mustahil YPPM mampu mencetuskan era kebangkitan dan kegemilangan institusi pondok ke tahap baharu. Untuk lebih lanjut mengenai YPPM bolehlah melayari laman http://yppm.org.my/

No comments:

Post a Comment