Monday, March 23, 2015

Tiada Penundaan Kadar Tambang Baharu Teksi - YB Nancy


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Hajah Nancy Shukri hari ini mengeluarkan kenyataan media bahawa kadar baharu teksi yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar pada 19 Mac berkuatkuasa seperti biasa. Bermakna tiada penundaan bagi kadar baharu teksi ini.

Namun penundaan kekal bagi kadar bas ekspres dan keretapi. Menurut Nancy yang juga merupakan menteri yang dipertanggungjawabkan mengawal selia SPAD, dua perkhidmatan ini akan ditunda ke suatu tarikh yang dipersetujui oleh Kabinet nanti.

Ketika pengumuman kadar baharu minggu sudah, pelbagai reaksi telah diterima oleh orang ramai tentang kenaikan ini. Sehingga ada yang melemparkan tuduhan liar mengatakan SPAD membuat kenaikan semberono seolah-olah tiada sebarang kajian dilakukan. Walhal lebih 2 tahun kajian telah dilakukan dengan melibatkan pengguna serta berpuluh persatuan dan syarikat pengendali teksi.

Sebelum kenyataan Nancy diterima, perisik sempat turun ke beberapa sidang media yang dibuat oleh persatuan-persatuan teksi di sekitar Lembah Klang. Rata-rata daripada mereka menyeru agar kadar tersebut tidak ditunda. Kerana kenaikan tersebut tidak tinggi berbanding yang dipinta atau dicadang mereka. Cukuplah sekadar menampung kehidupan mereka yang boleh dikira kais pagi makan pagi.



Mereka ini bukannya ada EPF atau SOCSO seperti pekerja-pekerja industri lain. Para pemandu teksi ini sebenarnya perniaga kecil-kecilan yang perlu memikirkan pendapat harian untuk tiga perkara iaitu bayaran sewa kereta harian, petrol/NGV dan kos selenggara. Selepas ketepikan pendapatan untuk tiga kos tu, selebihnya barulah dikira pendapatan bersih. 


Mungkin juga ada dikalangan pengguna tidak berpuas hati dengan pengumuman ini setelah melihat atau sendiri pernah tertipu dengan layanan biadap pemandu teksi. Ia masih kes terpencil tetapi dapat diperbaiki jika salah laku ini dilaporkan kepada Penguatkuasa SPAD serta merta. Sila pastikan no pendaftaran teksi, nama pemandu, tarikh, gambar, jenis kesalahan dan sebarang bukti-bukti lain yang boleh membantu siasatan. 

Persatuan-persatuan teksi juga tidak menafikan adanya salah laku pemandu teksi dan mengutuk keras pemandu yang biadap melanggar undang-undang ini. Mereka tidak menghalang tindakan tegas penguatkuasa SPAD yang mengikut peruntukan undang-undang dengan mengenakan kompaun atau sita. Kerana sikap satu dua pemandu ini telah mencemarkan imej pemandu-pemandu teksi lain yang mencari makan secara jujur.

Seperti dinyatakan laporan segera perlu dibuat kepada penguatkuasa SPAD jika menjadi mangsa. Selain daripada itu, pelapor pula janganlah tidak mahu diambil keterangan kerana ia penting dalam membantu siasatan. Banyak kes yang dilaporkan tidak mendapat kerjasama pelapor bagi membolehkan pendakwaan terhadap pesalah dibuat di mahkamah. 


1 comment:

  1. Flip Flop Flip Flop Flip Flop Flip Flop
    Apa kena dengan goverment ni? Kejap on. Kejap off pasal tambang!!

    Hal simple macam tambang ni pun tak leh setel?

    ReplyDelete