Sunday, March 15, 2015

MOU Antara YPPM dan KUIN Mampu Lonjak Institusi Pondok


Awal bulan ini, kita sudah dimaklumkan tetang penubuhan Pusat Kajian Pondok (PKP) oleh pihak Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Rektor KUIN, Prof Datuk Mohd Yusoff Kasim juga mengumumkan perlantikan Dato Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pegarah PKP yang pertama.

Perlantikan Mashitah yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) ini telah mendapat sokongan penuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Keputusan melantik Mashitah ini setelah mengambil kira latar belakang akademik dan penglibatan luas beliau dalam kerajaan serta sektor pendidikan negara.

Pengalaman sebagai mantan Ahli Parlimen Baling dan Ahli Dewan Negara serta penceramah, pakar motivasi, penulis buku dan kolumnis akhbar dilihat mampu dijadikan platform berguna untuk memacu kecemerlangan PKP. Komitmen kedua pihak antara YPPM dan KUIN ditunjukkan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) pada sabtu lepas di Alor Setar, Kedah.

Najib yang merupakan penaung YPPM turut melancarkan PKP dan menyaksikan sendiri proses menandatangani MOU antara Yusoff yang mewakili KUIN dengan Mashitah pula mewakili YPPM. Antara yang turut hadir dalam majlis ini adalah Menter Besar Kedah, Dato Seri Mukhriz Mahathir.



Melalui persefahaman ini, masing-masing akan memainkan peranan penting dalam bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan medium kajian akademik. Pihak YPPM dan KUIN akan bekerjasama dalam menyediakan kepakaran, kemudahan dan bantuan-bantuan berkaitan bagi melancarkan perjalanan PKP nanti.

PKP akan melakukan penyelidikan terperinci dan komprehensif berkaitan pondok seperti sumbangan ulama dan tokoh-tokoh pengajar di pondok. Selain itu isu-isu seperti pembangunan, pengembangan serta pengaruh institusi pondok juga dimasukkan ke dalam skop kajian supaya permasalahan dan penyelesaian dapat dilampirkan bersama.



Kajian yang bakal dijalankan nanti tidak hanya berkisar pada institusi pondok tempatan semata-mata. Skop kajiannya akan diperluaskan dengan meneliti sistem pengajian pondok di negara-negara Nusantara, Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

No comments:

Post a Comment