Wednesday, March 18, 2015

Kenaikan Tambang Teksi Perlu Direalisasikan


Mungkin ada yang tidak bersetuju, tapi kita perlu melihat dari setiap sudut sebelum kita menafikan kajian semula kadar tambang teksi. Bila setiap faktor diambil kira barulah kita tahu bertapa perlunya kadar kenaikan teksi ini setelah tertangguh hampir enam tahun.

Kali terakhir semakan kadar tambang teksi dilakukan adalah pada tahun 2009 iaitu tahun dimana bahang krisis ekonomi dunia 2008 melanda akibat kegagalan sub-prima Amerika Syarikat. Semakan kenaikan tambang yang diumumkan waktu itu sudah cukup membuatkan ramai pengguna mengeluh dan marah.

Kadar baharu teksi bajet ketika itu telah ditetapkan kepada RM3 bagi satu kilometer pertama atau 3 minit pertama. Manakala tambahan kadar mengikut jarak dan masa pula adalah RM0.10 bagi setiap tambahan 115meter atau setiap 21saat perjalanan.

Sehingga ke hari ini, teksi bajet Malaysia masih menggunakan kadar semakan 2009 tersebut. Walhal umum tahu harga bahan-bahan seperti petrol, tayar, bateri, kos baik pulih dan insurans kenderaan telah meningkat 15% hingga 25%. Manakala kadar inflasi kumulatif sejak 2009 pula sebanyak 12.6%. 



Kerajaan sedia maklum akan kegusaran yang dihadapi oleh pengendali teksi ini. Ada dikalangan pemandu teksi terpaksa mengawal kos selenggara dan bekerja lebih masa bagi menjana pendapatan secukupnya untuk menampung pendapatan isi rumah.

Krisis ekonomi yang melanda telah memberikan impak domino kepada pasaran Malaysia dan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih. Implikasinya telah menghadkan kuasa beli pengguna dan berdasarkan faktor ini, adalah tidak relevan untuk lakukan semakan dan kenaikan tambang beberapa tahun kebelakangan ini. 



Bagi mengimbangi keadaan ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Pengankutan Awam Darat (SPAD) telah memperkenalkan beberapa skim bantuan seperti skim tayar, skim insurans, TEKS1M dan beberapa insentif lain. Langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para pengendali teksi. 

Namun seperti dinyatakan, enam tahun tertangguh, sudah tiba masanya semakan kenaikan tambang teksi baharu dilakukan dan SPAD telah pun melakukan kaji selidik terperinci sejak 2013 bagi memastikan keputusan kenaikan tidak membebankan pengguna dan pengendali teksi yang merupakan RAKYAT.



Jadi beberapa siri perbincangan dan sesi taklimat telah dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dari pemain industri teksi dan orang awam. Dengan melakukan semua ini, perisik percaya, pihak SPAD mampu memberikan satu kadar yang rasional dan munasabah kepada pihak industri teksi untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna.

Soalnya sekarang, berapa kadar kenaikan itu nanti? Sama-sama kita nantikan pengumumannya esok 19 Mac 2015.

No comments:

Post a Comment