Friday, January 31, 2014

CEO SPAD: Selaraskan Skop Operasi Semua Agensi Kaitan Pengangkutan!


Idea penyelarasan ini sebenarnya telah lama ditimbulkan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Perkara ini sekali lagi dibangkitkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal yang melihat perlunya penstrukturan semula bagi menyelaras skop operasi kesemua agensi-agensi kaitan industri pengangkutan di negara ini.

Ini kerana, ramai yang masih terkeliru bidang kuasa atau fungsi setiap agensi sehinggakan baru-baru ini pemangku Menteri Pengangkutan, DS Hishamuddin sendiri boleh main terjah menyalahkan SPAD sebagai punca kemalangan bas di Genting Highlands yang berlaku pada 21 Ogos 2013.


Dalam isu ini, Syarikat pengendali iaitu Genting Highlands Transport Sdn Bhd telah memulakan operasinya pada 1984. Pada ketika ini agensi yang bertanggungjawab memberi kelulusan lesen adalah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Jadi lesen operasi syarikat pengendali tadi bukan diperolehi melalui SPAD yang baru ditubuhkan pada Jun 2010.

Sebab itu, timbul soalan macam mana SPAD pula boleh jadi punca kemalangan ini? Orang lain yang luluskan, orang lain pula dipersalahkan. Walaubagaimanapun, SPAD telah pun melakukan kajian semula kaedah pemberian permit bagi kenderaan awam yang diamalkan sebelum penubuhan SPAD.

Lagi pun kemalangan bas yang berlaku ini, tidak menampakkan kaitan konkrit berpunca daripada pemberian lesen operasi kepada pengendali. Ini soal keselamatan, jadi agensi LPKP mahupun SPAD yang mengeluarkan lesen pengendali tidak dilihat sebagai penyebab kepada kemalangan.

Terdapat beberapa buah agensi yang bertindak memastikan kenderaan awam berada dalam keadaan selamat. Sebagai contoh, pemeriksaan berjadual bagi kenderaan awam dan perdagangan dilakukan oleh pihak PUSPAKOM bagi menentukan "roadworthiness". 


Manakala struktur reka bentuk setiap kenderaan awam termasuk bilangan penumpang bagi bas ditentukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). JPJ juga bertanggungjawab atas pengeluaran "Public Service Vehicle" (PSV) kepada pemandu pengangkutan awam.

Perkara-perkara ini dijelaskan bukannya bertujuan untuk menunding jari kementerian mahupun agensi-agensi berkaitan. Akan tetapi, ia bagi memberi gambaran bertapa pentingnya penyelarasan skop tugas dan tanggungjawab dibentuk dibawah satu agensi dengan kadar segera bagi mewujudkan mekanisme kawalan yang lebih efisien.    

Bagi meningkatkan tahap kompetensi pemandu pula, SPAD sedang dalam proses untuk mengeluarkan kad pemandu dalam sistem maklumat pemandu SPAD bagi memantau sikap dan prestasi setiap pemandu pengangkutan awam. 


Selain daripada itu, SPAD juga telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan SPAD ICOP Keselamatan yang telah berkuatkuasa pada 20 Ogos 2013 untuk semua pengendali bas. Ianya bertujuan untuk memberi garis panduan keselamatan yang praktikal bagi semua pengendali bas demi memastikan keselamatan operasi dan mengurangkan insiden kemalangan. Penambahbaikan ‘Standard Operating Procedure' (SOP) ini telah dimaklumkan kepada Panel Penyiasat.  

Hasil utama yang diharapkan melalui program latihan SPAD ICOP - Keselamatan adalah menjadikan agenda keselamatan sebagai agenda utama bagi setiap pengendali pengangkutan awam darat; menerapkan nilai-nilai moral untuk membantu mengatasi masalah dan kelemahan amalan keselamatan bagi pengendali pengangkutan awam darat dan menjadikan amalan keselamatan sebagai budaya dan norma industri pengangkutan awam.  

Memandangkan lanskap pengurusan keselamatan jalanraya di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan, maka SPAD ingin sekali lagi mencadangkan supaya penstrukturan semula agensi-agensi ini dari aspek skop dan tanggungjawab diselaraskan bagi memastikan transformasi keselamatan industri ini dapat dijalankan.

Pihak SPAD juga akan meneliti serta mengkaji kesemua 20 cadangan dan 51 pelan tindakan penambahbaikan manual prosedur kerja setelah laporan dikemukakan kepada Suruhanjaya. 

Pihak SPAD melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nur Ismal menyambut baik cadangan DS Hishamuddin untuk mewujudkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara bagi menyiasat dan menangani kes-kes kemalangan ngeri seperti kemalangan di Genting Highland pada 21 Ogos 2013.

No comments:

Post a Comment