Sunday, September 29, 2013

Jawatankuasa Ditubuh Siasat Kemalangan Di Genting


Ingatan rakyat Malaysia masih segar akan malapetaka yang berlaku di Genting pada Ogos lepas. Insiden kemalangan melibatkan sebuah bas yang terbabas jatuh ke dalam gaung sekali gus meragut lebih 35 nyawa.

Detik berdarah ini telah mendapat perhatian seluruh negara sehingga ada yang menuduh kerajaan kerana gagal mengatasi kemalangan melibatkan bas. Hakikatnya adakah faktor bencana seperti ini harus diletakkan dibahu kerajaan semata-mata. Sedangkan peraturan, akta, garis panduan dan pelbagai kempen kesedaran telah direalisasikan bagi meminimumkan kadar kemalangan di negara ini. 

Akan tetapi faktor sikap acuh tak acuh dan sambil lewa dikalangan pemandulah yang harus kita renungi. Kerana majoriti punca kemalangan di negara ini berlaku atas kecuaian pemandu yang melanggar peraturan jalan raya.

Dalam insiden di Genting ini, beberapa mangsa yang terselamat telah menceritakan bahawa bas yang mereka naiki dipandu terlalu laju ketika menuruni pusat peranginan tersebut. Sebelum itu difahamkan pemandu bas terbabit telah berselisih faham dengan salah seorang pengguna jalan raya yang lain. 



Adakah kesan psikologi pemandu terbabit terjejas akibat perselisihan faham tadi? Adakah pengendali bas gagal menyediakan pemandu yang berkualiti? Adakah ianya berpunca dari kegagalan sistem mekanikal bas? atau Adakah rekabentuk jalan raya itu sendiri yang tidak menepati ciri-ciri keselamatan untuk kenderaan besar seperti bas? 

Terlalu banyak persoalan boleh dibangkitkan. Akan tetapi semua itu terlalu awal untuk diputuskan tanpa meneliti setiap bukti-bukti yang ada. 

Sebab itulah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah bertindak menubuhkan Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas di Genting. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal.



Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan juga agensi-agensi lain yang dikenalpasti oleh SPAD. 

Fungsi utama jawatankuasa ini adalah untuk menilai bukti-bukti dan laporan-laporan kemalangan yang telah dikemukakan oleh MIROS dan PDRM serta lain-lain agensi serta membuat cadangan kepada kerajaan bagi mencegah kejadian sedemikian daripada berulang.

SPAD dijangka memberi tumpuan yang lebih khusus kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres. Audit keselamatan tersebut akan dilakukan berdasarkan pekeliling SPAD ICOP – Keselamatan Bil 6/2013 yang berkuatkuasa pada 20 Ogos 2013.   

No comments:

Post a Comment