Friday, September 20, 2013

Azalina Tarik Diri! Shahrizat Tunai Janji!


Besok tarikh akhir serahan borang pencalonan. Sepanjang minggu sudah  pelbagai insiden dan drama menarik berlaku terutamanya di dalam pergerakan wanita.

Sebelum ini Datuk Seri Azalina Othman Said telah bersiap sedia untuk bertanding ke jawatan Ketua Wanita bagi mencabar penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Tidak lama selepas itu beliau bertindak menarik diri dan mengambul keputusan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.

Mengeluh, kecewa dan marah antara reaksi dalam parti tidak kurang juga pemerhati yang begitu harapkan penglibatan yang lebih generasi muda ke jawatan tinggi Umno. Apakan daya keputusan sudah dimuktamadkan. 

Baru-baru ini, Shahrizat  dilaporkan berkata Wanita UMNO akan memberi sokongan padu kepada Azalina jika beliau mahu bertanding jawatan MT dalam Pemilihan Umno nanti.

"Wanita akan sokong beliau...secara prinsipnya kita akan sokongan siapa sahaja jika mereka bertanding di peringkat Majlis Tertinggi. Sudah pasti kita akan sokong Datuk Azalina jika beliau mengesahkan bertanding nanti," kata Shahrizat pada sidang media baru-baru ini.

Ekoran kenyataan Shahrizat itu, Azalina hari ini mengeluarkan kenyataan media mengesahkan akan bertanding kerusi Ahli Majlis Tertinggi dalam Pemilihan Umno (PAU) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam kenyataan itu juga Azalina, yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang juga berterima kasih kepada Shahrizat  di atas janjinya bahawa Pergerakan Wanita UMNO akan memberi sokongan padu kepadanya bagi merebut jawatan itu.

Pastinya seantero Malaysia mahu melihat sama ada Shahrizat akan “walk the talk”, iaitu mengotakan apa yang di kata.

Dalam satu kenyataan akhbarnya kepada media pada Jumaat (20 Sept), Azalina berkata, keputusannya menarik diri daripada mencabar Shahrizat bagi jawatan Keta Pergerakan Wanita Umno dibuat setelah mengambilkira nasihat dan pandangan pelbagai pihak.

Azalina berkata dia yakin keputusannya akan diterima baik oleh semua pihak kerana ia dibuat demi perpaduan dan keutuhan Umno.

“Sebagai seorang yang setia kepada kepimpinan parti dan sayang serta cintakan  Umno,  apa yang penting bagi saya ialah melihat Umno terus padu, utuh dan unggul  bagi kita bersedia dari sekarang untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 nanti,” kata Azalina dalam kenyataan itu.

Azalina berkata keputusannya tidak mencabar Shahrizat juga dibuat kerana dia menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan oleh Umno kerana baginya parti itu bukan milik individu atau pihak tertentu.

“Umno adalah untuk semua ahlinya demi menjaga kepentingan dan hak orang Melayu,” kata Azalina.

Dalam hal ini, perisik “tabik spring” kepada Azalina kerana sanggup mengalah kepada Shahrizat yang jauh lebih tua daripadanya demi menjaga keutuhan parti. Wanita harus berterima kasih dengan sikap Azalina yang mendahulukan parti lebih daripada segalanya.

Rasanya keputusan Azalina menarik diri daripada mencabar Shahrizat dan sebaliknya mencuba nasib bertanding merebut kerusi Ahli Majlis Tertinggi, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Mungkin peluang Azalina akan menyerahlah sekiranya Shahrizat dan Wanita Umno mengotakan janji mereka.

Selain bertanding kerusi Ahli Majlis Tertinggi, Azalina juga akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Pengerang.

Dalam kenyataan media itu Azalina berkata dia yakin pengalaman dan kebolehan yang ada pada dirinya sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal sehingga hari ini dan pernah menjadi Menteri Kabinet serta Ketua Pergerakan Puteri merangkap Naib Presiden Umno, dia mampu mencurah bakti dan berkhidmat kepada parti, ahli ahli UMNO, bangsa, negara dan agama.

Berikut adalah kenyataan media dari Azalina:
KENYATAAN AKHBAR DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAIDJUMAAT 20 SEPTEMBER 2013
1.  Setelah mengambil kira nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak, saya dengan penuh takzim mengesahkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia didalam pemilihan parti kali ini.
2.  Saya yakin keputusan saya ini akan diterima baik oleh semua pihak demi perpaduan dan keutuhan UMNO. Sebagai seorang yang setia kepada kepimpinan parti dan  sayang serta cintakan UMNO, apa yang penting bagi saya ialah melihat UMNO terus padu, utuh dan unggul  bagi kita bersedia dari sekarang untuk menghadapi Pilihanraya UMUM ke-14 nanti.
3.  UMNO ialah sebuah parti yang berasaskan prinsip demokrasi. UMNO bukan dimiliki oleh individu atau pihak tertentu. UMNO adalah untuk semua ahlinya demi menjaga kepentingan dan hak orang Melayu.
4.  Saya juga secara rasmi mengumumkan penawaran diri saya sabagai calon bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan Ketua UMNO Bahagian Pengerang.  Saya yakin dengan pengalaman dan kebolehan yang ada pada diri saya sebagai Ahli Parlimen selama 3 penggal sehingga hari ini dan pernah menjadi Menteri Kabinet serta Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Naib Presiden UMNO, saya mampu mencurah bakti dan berkhidmat kepada parti, ahli-ahli UMNO, bangsa, Negara dan Agama. 
5,  Disini saya saya juga ingin mengambil kesempatan mengulas kenyataan Datuk Seri Shahrizat  Abdul Jalil, dengan mengucapkan jutaan terimakasih kepada  beliau yang telah menjanjikan sokongan padu Pergerakan Wanita UMNO kepada saya bagi merebut jawatan Ahli 
Majlis Tertinggi.
Sekian, terima kasih.Dato’ Sri Azalina Dato’  Othman Said
 Ahli Parlimen Pengerang ( P157)

No comments:

Post a Comment