Monday, September 30, 2013

Azalina Bukan Pilihan Guan Eng


Dalam sidang media bersama Guang Eng ketika CEC semalam. Beliau telah diminta mengulas lebih lanjut mengenai ucapannya yang mengakui kekuatan Umno terletak pada wanita?  

"Memang tidak dinafikan kekuatan UMNO terletak pada wanita dan kaum ibu. Shahrizat kuat sampaikan Azalina pun tak berani lawan!" katanya.

Namun bila ditanya jika Shahrizat kalah dalam PAU nanti, adakah ia memberi kelebihan kepada Pakatan? "Saya harap Shahrizat tak kalah" jawabnya bersahaja.

Dari pengamatan perisik perkara ini tiada kaitan dengan faktor individu semata-mata. Faktor keseluruhan jentera wanita yang dibarisi oleh pemimpin mantap di peringkat cawangan dan bahagian merupakan faktor sebenar kekuatan wanita. Lihat sahaja pada PRK Kuala Besut! Mereka ini mampu bergerak atas inisiatif sendiri demi parti demi agama, bangsa dan tanah air. 

Memang terasa janggal bila mendengar kenyataan Guan Eng tadi. Sebab memikirkan apakah betul Azalina tak berani? Dikalangan pemerhati dan otai politik pula cukup faham dengan kenyataan pertama Guan Eng tadi yang sinis dan punya kenakalan yang tersirat di sebaliknya. 

Selaku Ahli Parlimen Pengerang, Azalina telah terbukti memperjuangkan hak rakyat dan membantu kerajaan dalam menghadapi serangan pembangkang dalam isu projek RAPID. Lihat sahaja bagaimana beliau membuatkan barisan pembangkang kecut perut dan terkedu ketika berbahas di Parlimen mengenai isu terbabit.

Beliau tegas dalam memastikan kebajikan rakyatnya terpelihara supaya tidak ketinggalan dari arus pembangunan. Ia penting supaya sosio ekonomi warga Pengerang terus berkembang dengan terwujudnya lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan untuk anak muda di sana. 

Track record beliau dalam PRU tidak boleh dipertikaikan apabila menang tanpa bertanding pada dua PRU lepas (2004/2008) dan sekali lagi kekal sebagai Ahli Parlimen Pengerang dengan majoriti lebih 20 ribu undi pada PRU13.  

Azalina mendapat pendidikan awal undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1988. Kemudianya melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science di United Kingdom pada tahun 1990 dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Undang-undang.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau memulakan kerjaya sebagai Pembantu Undang-undang di Messr Raja Darryls & Loh. Setelah itu menjadi rakan kongsi di syarikat 
guaman Azalina Chan & Chia (1994) dan Messrs Skine (2001).

Mula berkhidmat sebagai Ketua Penaja Puteri Umno Malaysia pada April 2001 dan kemudiannya menjadi Ketua Puteri Umno yang pertama dilantik pada 1 November 2002 hingga 2004.

Ketika menjadi MP pada 2004, beliau telah dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan (2004-2007) dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pelancongan (2008-2009). Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Belia dan Sukan Umno, Ketua Biro Tindakan Sivil Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Azalina juga pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Global Leader for Tomorrow pada tahun 2003 oleh Forum Ekonomi Dunia, di Davos, Switzerland.


Melihat kepada pencapaian dan latar belakang beliau ini, tidak nampak di mana dan bagaimana Azalina harus merasa takut. Difahamkan beliau mempunyai percaturan yang lebih baik untuk dirinya. Jadi beralih bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi menjadi pilihan tepat untuk kekal dalam kepimpinan parti.

Jadi peduli apa jika Azalina tidak menjadi pilhan Guan Eng. Sebab Guan Eng sendiri harus mencermin diri sendiri memandangkan kedudukan beliau semakin tergugat apabila jatuh ke kedudukan nombor lima berbanding nombor dua sebelum ini. Apa yang penting pilihan rakyat yang inginkan pemimpin BIJAK BERANI BENAR.


No comments:

Post a Comment