Monday, September 23, 2013

BSN Diminta Segerakan Pemohon Pinjaman TEKS1M


Program TEKS1M telah mendapat sambutan menggalakkan dari para pemandu teksi seluruh negara  yang bercita-cita untuk memiliki lesen individu serta proton Exora sebagai teksi. 

Mengapa tidak! Pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ini begitu menarik dengan pelbagai insentif terutamanya geran RM5,000 serta kadar faedah pinjaman bank serendah 2% setahun.

Sasaran peringkat pertama SPAD adalah kepada 1,000 pemandu teksi sahaja untuk menyertai program TEKS1M ini. Rata-rata 1,000 pemandu teksi ini sudah pun dikenalpasti oleh SPAD sebagai menepati syarat-syarat kelayakan minimum ditetapkan oleh suruhanjaya. Akan tetapi kesemua yang terpilih ini, perlu juga melalui saringan kedua iaitu melalui perbankan bagi menentukan samada pinjaman diluluskan atau tidak. 

Buat masa ini hanya Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja yang dilantik untuk memberi pinjaman bagi program ini. Akan tetapi setakat ini, hanya 85 permohonan sahaja yang telah mendapat kelulusan BSN. Difahamkan ada juga permohonan yang ditolak dan proses saringan masih berjalan terhadap baki pemandu teksi yang terpilih tadi.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika ditemui di pemeriksaan TEKS1M di Puspakom memberitahu media agar pihak BSN dapat menyegerakan kelulusan bagi yang layak supaya sasaran 1,000 TEKS1M beroperasi pada penghujung tahu ini tercapai. 


Halangan buat masa ini jelas kelihatan di bahagian permohonan pinjaman sahaja. Dari segi penyediaan unit kenderaan Exora tidak menjadi masalah buat Proton sediakan.  

Setakat ini, proton sudah pun menerima 907 buah tempahan TEKS1M, tapi 85 pemohonan sahaja yang berjaya merupakan peratusan yang amat kecil dan membimbangkan. Jadi diharap pihak BSN dapat memberi kerjasama supaya menyegerakan proses penyaringan pinjaman terhadap pemohon. 

Jika ada yang gagal. pihak SPAD mungkin akan merancang mencari pengganti pemandu teksi lain yang berkelayakan bagi mengisi kekurangan itu tadi. Tidak menjadi masalah buat SPAD memandang jumlah permohonan yang diterima amat menggalakkan iaitu melebihi 12,000 orang.

Sebelum menyerahkan TEKS1M kepada yang berjaya, kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan di Puspakom. Kebiasaanya kadar yang dikenakan Puspakom adalah RM70, tetapi tiada sebarang bayaran dikenakan untuk kali pertama pemeriksaan TEKS1M. Keistimewaan ini adalah untuk seribu pemandu teksi pertama sahaja.

No comments:

Post a Comment