Sunday, September 29, 2013

Pekeliling Keselamatan Operasi Bas Di Tanah Tinggi


Sebuah pekeliling telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada semua pengendali bas bagi menggariskan Kod Amalan Industri (ICOP) keselamatan bas yang beroperasi di tanah tinggi. 

Pekeliling ini dilihat bertepatan, kerana rakyat Malaysia tidak mahu lagi insiden berdarah berulang kembali seperti kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah bas di KM3.5, Genting Highlands bulan sudah.

Intipati pekeliling ini telah menetapkan beberapa keperluan seperti Pemasangan Global Positioning Satelite System (GPS), Anti-lock Braking System (ABS), CCTV, sistem keselamatan brek seperti Engine Retarder/exhaust brake dan pematuhan peraturan keselamatan antarabangsa mengenai keselamatan super structure kenderaan (U.N.E.C.E Rule 66/A.D.R.) serta tali pinggang keledar untuk semua kerusi  penumpang (U.N.E.C.E Rule 80).

Perlaksanaan mekanisme ini, dijangka dapat mengoptimumkan tahap keselamatan bas serta mengembalikan keyakinan rakyat dalam menggunakan perkhidmatan awam di negara ini. Penggunaan GPS ini bukan sahaja dapat memantau lokasi semasa. Malah turut mampu merekodkan keseluruhan cara pemanduan bas tersebut. 



Berdasarkan beberapa sistem yang telah terpakai di beberapa negara maju, ia mampu mengesan kadar kelajuan, altitud dan lain-lain lagi seperti gambar di atas. Para pemandu bas boleh jadi serba salah nak membawa laju dengan sewenang-wenangnya. Dengan ini, matlamat bagi mendisiplin para pemandu dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Untuk makluman, dibawah SPAD ICOP-SHE yang telah berkuatkuasa pada 9 September 2013, pegawai keselamatan dan penyelia syarikat telah diwajibkan memantau pemandu dan kenderaan sebelum perjalanan dimulakan. 



Langkah kawalan tambahan yang dikuatkuasakan oleh SPAD ini adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan awam supaya segala kelemahan dari aspek keselamatan operasi di kalangan pengendali dapat diperbaiki bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi. 

No comments:

Post a Comment