Sunday, July 14, 2013

Hasil Kajian Keretapi Laju Hujung Julai Ni!


Ramai di kalangan ahli parlimen sudah mula tertanya-tanya sejauh mana usaha kerajaan dalam merealisasikan projek keretapi laju yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura ini.

Ada yang bertanya adakah landasan ini akan menghubungkan ke semua bandar besar semenanjung? Adakah Malaysia mampu melaksanakan projek ini? Bagaimana konsep dan mekanisme perlaksanaan projek ini kelak? 

Namun kesemua persoalan yang diajukan oleh MP Seputeh, Teresa Kok, MP Putatan, Datuk Makin dan MP Pokok Sena, Dato Mahfuz Omar itu dapat dijawab dengan tenang serta jelas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Hajah Nancy Shukri di Dewan Rakyat minggu sudah.

Di sini apa yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu bahawa peringkat kajian projek rel keretapi laju terlebih dahulu dilaksanakan oleh SPAD dengan kerjasama PEMANDU di bawah progam Economic Transfomation Programme (ETP). 



Sebab itu ia diletakkan di bawah Perdana Menteri (PM) bukan di bawah kementerian pengangkutan. Kerana kita sedia maklum cadangan pembinaan keretapi laju ini timbul di antara PM kedua-dua negara. 

Kaji selidik dan hasilnya nanti perlu mendapat persetujuan bersama di antara Malaysia dan Singapura. Ini perlu kerana ia melibatkan beberapa sektor dan agensi kerajaan negara masing-masing. 

Selagi tiada persetujuan dua negara, maka tiada perlu untuk mendedahkan hasil kajian terperinci buat masa ini. Kerana kemudian nanti pasti akan berlaku perubahan perancangan bagi mencapai titik persetujuan bersama setelah kita melihat pula kajian Singapura. 

Jelaslah kerajaan melalui SPAD tidak mahu melampirkan kajian tangkap muat berkaitan projek ini. Oleh demikian kajian yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa aspek seperti kejuruteraan, geografi, kos, keselamatan dan lain-lain. Cuma tinggal untuk dimuktamadkan dan ia dijangka berlaku penghujung bulan ini. 



Perlu diingat, laporan kajian yang muktamad ini adalah di pihak Malaysia sahaja. Perbincangan lanjut bersama pihak Singapura akan dilakukan nanti bagi mendapat maklumat hasil kajian mereka.

Secara umumnya landasan ini akan melalui semua negeri antara KL dan Singapura iaitu Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Manakala kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan menimbang mekanisme terbaik dalam pemilihan tender bagi projek ini kelak.

Nancy Shukri turut menjelaskan bahawa kos projek ini akan diminimumkan sebaik mungkin terutamanya dalam pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan jajaran khas untuk keretapi laju ini. Kos keseluruhan projek ini pula masih terlalu awal untuk diumumkan memandangkan ia melibatkan dua negara. 

Kerajaan Malaysia juga sedia maklum akan situasi yang berlaku di negara maju seperti UK, Perancis dan Jerman di mana projek rel yang pada mulanya dikawalselia oleh swasta terpaksa diambil alih oleh kerajaan.

Ia sama seperti apa yang berlaku di Malaysia pada awal 2000-an di mana kerajaan Malaysia terpaksa mengambil alih LRT STAR dan PUTRA dari pihak swasta. 



Akan tetapi masalah yang diutarakan oleh MP Pokok Sena, Mahfuz ini perlu diteliti dengan kajian berasingan kerana jika dibandingkan dengan negara maju, kita perlu fahami dasar perlaksanaan, punca masalah dan sebab musabab langkah tersebut diambil. 

Adakah ia berlaku ketika kemelesetan ekonomi yang turut menjejaskan industri pengangkutan lain atau sebaliknya? 

Bagi perihal sistem LRT STAR dan PUTRA pula, ia melibatkan beban kos operasi yang tidak dapat ditampung oleh pihak syarikat swasta sehingga meningkatkan hutang pinjaman. Ini berikutan bilangan penumpang yang rendah serta diburukkan lagi dengan kesan krisis kewangan yang melanda pada 1997/98. 

Semua ini perlu diambil kira supaya kita mendapat gambaran jelas sama ada perbandingan yang diusulkan relevan antara satu sama lain dan bertepatan dengan isu yang melanda pada tahun-tahun tertentu.

Namun segala-galanya akan dijelaskan dengan lebih terperinci seperti kos keseluruhan, mekanisme pemilihan tender, caj pengangkutan, pengurusan operasi dan sebagainya setelah persetujuan bersama kedua negara dicapai. 

Perisik: bila siap kelak perjalanan di antara KL-Johor Bharu akan mengambil masa 80 minit sahaja. Manakala ke KL-Singapura 90 minit! 

No comments:

Post a Comment