Saturday, July 20, 2013

Peringatan Buat Pemandu Teksi Berperangai Buruk


Ada peribahasa Melayu berbunyi - sebab nila setitik, rosak susu sebelanga yang bermaksud hanya kerana salah seorang, sekumpulan atau seluruh masyarakat akan turut mendapat nama yang buruk.

Itulah yang berlaku pada imej teksi di negara kita sekarang ini sehingga mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib untuk menegur mereka semalam.

Ketika berucap pada Majlis Janji Ditepati ke-2- Pemberian Lesen Teksi Individu di perkarangan ibupejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam, Najib berpesan kepada pemandu teksi yang hadir supaya pastikan tingkah laku mereka "cantik".

“Perkhidmatan teksi yang baik dan cemerlang tidak hanya dengan bentuk  teksi yang cantik sahaja. Pemandu teksi pun mesti cantik juga. Kalau rupanya kurang cantik pun, biarlah perangai dan tingkah lakunya cantik.

"Semulajadi itu, itu kurniaan Ilahi. Tapi...perangai, tingkah laku itu, manusia boleh betulkan. Bila bawa penumpang seharian, senyumlah. Jadilah pemandu teksi yang peramah dan bila sudah habis perjalanan dan dapat bayaran, ucap terima kasih kepada pelanggan. Inilah antara ramuan yang menjadikan kita seorang pemandu teksi yang cantik,” kata Najib.

Lebih daripada 500 pemandu teksi yang ada di majlis itu ketawa terkikih-kikih mendengar cakap Najib. Sepatutnya cubit paha kanan, paha kiri pun rasa sakit. Sepatutnya mereka mendalami teguran Perdana Menteri dan sampaikan kepada rakan-rakan yang memang berperangai kurang sopan.

Mungkin ada yang tersengih-sengih tu terasa dengan saranan PM. Ada di antara mereka berpandangan sesama sendiri seolah-olah teguran tu tepat kepada diri masing-masing atau pun teringat pada tingkah laku rakan-rakan yang terkantoi dicekup pihak berkuasa.

Apa-apa pun diharap teguran PM ini tidak setakat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Kalau boleh biarlah melekat kekal dalam kepala otak para pemandu.

Sebab SPAD pun kalau boleh tak mahu terima lagi beratus-ratus aduan mengenai sikap  pemandu teksi di Malaysia yang biadap bukan sahaja terhadap pelancong, tetapi juga orang tempatan. Persepsi masyarakat mengenai pemandu teksi umpama - di luar bagai madu, di dalam bagai empedu. Maksudnya, di luar nampak baik, tetapi di dalam sebenarnya jahat.

Ingat, tahun hadapan ialah Tahun Melawat Malaysia. Kalau nak ubah perangai, kenalah mula dari sekarang!

No comments:

Post a Comment