Friday, August 15, 2014

Pegawai SPAD Diugut Samseng Kereta Sapu


Dalam operasi khas bagi membanteras kegiatan teksi tidak bermeter di Rawang baru-baru ini. Pihak penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah berjaya menahan dua kereta sapu, lapan kes teksi tidak guna meter dan satu kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Operasi ini diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa SPAD, Mejar (B) Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad melibatkan 60 pegawai penguatkuasa yang menyamar di beberapa lokasi strategik terutamanya di sekitar Stesen Komuter Rawang.

Namun dua dari pegawai penguatkuasa SPAD telah melalui detik cemas apabila diugut dan dibawa lari oleh salah seorang pemilik kereta sapu. Dua pegawai terbabit ialah Mohd Hafiezffuddin Mohd Apandi, 28 dan Nor Azean Hashim, 26.

Mereka yang baru bertugas setahun di SPAD Subang telah ditugaskan menyamar sebagai penumpang di kawasan Komuter Rawang pada pukul 5 petang. Sebuah kereta sapu jenis Perodua MyVi yang telah bersetuju untuk menghantar mereka ke Tesco Rawang dengan kadar RM10 tanpa meter.

Insiden bermula setelah hampir tiba di destinasi, apabila pemandu kereta sapu terbabit diberitahu bahawa mereka adalah pegawai SPAD yang sedang bertugas. Ekoran daripada itu, pemandu terbabit mula panik dan melenting mengugut pegawai terbabit sebelum melarikan diri.

Menurut Che Hasni, pihaknya telah membuat laporan polis dan sekiranya didapati bersalah, pemandu tersebut boleh didakwa bawah Akta Pengangkutan Awam Darat Seksyen 234 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas manakala bagi kesalahan teksi tidak menggunakan meter pula boleh didakwa di bawah Seksyen 22 dan Seksyen 16 bagi kesalahan menggunakan kereta sapu.

No comments:

Post a Comment