Sunday, December 22, 2013

Tambang Baharu Rel Perlu Kajian Teliti!


Awal bulan ini kecoh mengenai pelbagai harga barangan dan kos perkhidmatan bakal naik. Ia berikutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Kenaikan ini adalah disebabkan kesan penyelarasan harga domestik bahan bakar bagi menjana elektrik di negara ini seperti gas asli dan arang batu global. Kesan peningkatan ini turut terpalit kepada perkhidmatan rel seperti Sistem Aliran Ringan (STAR) dan (PUTRA) yang menggunakan elektrik untuk bergerak.

Buat masa ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak meluluskan sebarang caj baharu bagi perkhidmatan rel. 

Namun, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid mengingatkan bahawa kajian terperinci dan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan penyelesaian terbaik supaya rakyat dan syarikat pengendali tidak terbeban.

Ini kerana kenaikan tambang rel ini akan merencatkan usaha kerajaan bagi menggalakkan rakyat di negara ini menggunakan perkhidmatan awam. Oleh itu langkah mekanisme kawalan harga tambang perlu diketengahkan.

"Sekiranya tambang terlalu tinggi, orang ramai tidak akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Kalau tambang terlalu rendah, industri rel pula tidak akan mampan dan industri ini akan terus bergantung kepada kerajaan." Kata Syed Hamid.

Syarikat-syarikat rel juga sebelum ini telah berusaha mencari pendapatan lain bagi meringankan kos operasi. Mereka tidak bergantung kepada jualan tiket semata-mata. Dengan cara begini syarikat pengendali rel dapat meminimumkan kesan tanpa kenaikan tambang selama 10 tahun ini!

Namun keadaan semasa kenaikan bahan bakar global semakin membebankan syarikat-syarikat tenaga dan ini menyebabkan domino effect sehingga melibatkan perkhidmatan rel di negara ini. 

No comments:

Post a Comment