Monday, August 12, 2013

Ulat Tiket, Dadah & HIV


Gempur!! Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini telah mengadakan operasi bersepadu mengengkang kegiatan ulat tiket di Pudu Sentral Kuala Lumpur. Ia berikutan risikan SPAD yang mendapati kegiatan ulat tiket semakin bermaharajalela bila tiba musim perayaan Aidilfitri.

Operasi yang diketuai oleh Pengurus Besar Unit Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad ini, telah dilibatkan bersama Polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Gerak kerja bersepadu ini telah berjalan dalam dua fasa iaitu 10 pagi hingga 12 tengahari dan 8.30 hingga 10.30 malam. Hasilnya sebanyak 24 ulat tiket dicekup dan ujian lanjut mendapati 10 daripada mereka positif dadah. Dua lagi pesalah diberkas kerana pendatang tanpa izin dan seorang wanita dikesan memiliki dadah.

Mereka yang positif dadah telah diserahkan kepada AADK sementara ulat tiket yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 50 ribu atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.



Menurut Che Hasni, wanita yang ditahan kerana memiliki dadah itu tadi turut mengaku dia adalah pesakit HIV. Beliau telah diserahkan kepada polis dan akan didakwa di bawah Akta Dadah Merbahaya.

Risikan yang dijalankan sepanjang operasi mendapati wujud segelintir pengusaha bas menjadi dalang mengupah ulat tiket ini sebagai ejen jualan mereka.

Mereka yang menjadi mangsa ulat tiket ini akan di bawa ke kaunter jualan tiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Namun begitu modus operandi ulat ini tidak menjadi apabila mangsa yang cuba ditipu mereka adalah pegawai yang menyamar sebagai orang awam.

Tidak disangka, dalam usaha pihak kerajaan melalui SPAD cuba menghalang penularan ulat tiket ini. Ada pula pengusaha bas yang sanggup menjadi barua berkomplot dengan ulat tiket untuk menipu orang awam.

Dipercayai ulat tiket ini akan mendapat habuan antara RM4 – RM6 bagi setiap mangsa yang berjaya mereka iringi ke kaunter. Ekoran dari itu pihak SPAD sendang mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas pengusaha bas  yang terbabit menipu orang awam ini.

Pihak kerajaan nampaknya perlu menyegerakan penggunaan sistem e-Ticketing di Pudu Sentral seperti mana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Ini terbukti apabila tiada kegiatan atau aduan ulat tiket dikesan sepanjang perlaksanaan sistem ini di TBS.

No comments:

Post a Comment