Thursday, January 26, 2012

Masyarakat Felda sambut baik slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’

Slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ yang diperkenalkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendapat sambutan yang positif daripada masyarakat Felda di sini.

Yang Dipertua ISMA Cawangan Kuantan, Ustaz Rushdan Abdul Halim menegaskan bahawa slogan tersebut merupakan jalan penyelesaian yang praktikal kepada kemelut permasalahan jatidiri yang melanda umat Islam di tanahair kini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ sempena program Kafilah Dakwah di Masjid Felda Jengka 9 di sini semalam.

Program ini dianjurkan bersama Biro Pendidikan Jengka 9, Badan Agama Jengka 9 dan ISMA Cawangan Temerloh.

Menurut Ustaz Rushdan, fokus ISMA dalam program Kafilah Dakwah ini untuk membina jatidiri Melayu Muslim melalui penghayatan Islam secara menyeluruh dalam masyarakat.

Masyarakat Felda menjadi sasaran kerana mereka adalah masyarakat Melayu Muslim sepenuhnya, tambahnya.

“Program ini juga bertujuan untuk menyatupadukan dan membentuk kesepakatan di kalangan orang Melayu dalam menjayakan aspirasi Islam di Malaysia walaupun berbeza pandangan dan latar belakang,” ujar Ustaz Rushdan.

Menurut beliau, ISMA akan ‘turun padang’ bagi mendekati masyarakat khususnya masyarakat Felda dan memupuk penghayatan agama secara menyeluruh untuk membina umat yang bertamadun.

“Melihat masalah sosial yang berlaku terutama di dalam masyarakat Felda, timbul kesedaran ISMA di Pahang untuk memberi sumbangan kepada menyelesaikan masalah ini dengan menyedarkan masyarakat perlunya kembali kepada penghayatan Islam secara menyeluruh dan kepentingan perpaduan serta persepakatan,” kata Ustaz Rushdan.

Beliau turut menyatakan bahawa masyarakat Felda adalah unik kerana terbentuk hasil persepakatan politik di antara Tun Abdul Razak dan Dato’ Asri Muda pada zaman 70-an dahulu.

Program Kafilah Dakwah ini akan menjelajah ke semua Felda di negeri Pahang.

Sumber:- http://www.ismaweb.net/v4/2012/01/masyarakat-felda-sambut-baik-slogan-%E2%80%98melayu-sepakat-islam-berdaulat%E2%80%99/

No comments:

Post a Comment