Saturday, May 7, 2016

McDonald's Lebih Ceria Ada Insan Seperti Nabil!



Bukan simpati yang ditagih, namun insan istimewa seperti orang kelainan upaya (OKU) ini sebenarnya canda untuk hidup normal seperti orang lain. Mereka sedar dengan kekurangan yang ada pada diri. Jadi tidak perlu diingatkan lagi dengan renungan sedih, kesian atau sayu dikalangan masyarakat sekeliling.

Golongan OKU ini punya hak untuk bergerak ke mana-mana lokasi serta bekerja seperti orang lain. Namun kekangan persekitaran serta peluang amat tipis untuk direbut bersama golongan OKU lain. Kita sendiri melihat, bukan semua tempat atau perkhidmatan yang mesra pengguna OKU. Selain itu amat sedikit majikan yang membuka peluang pekerjaan kepada OKU ini. 

Namun jalinan antara insan OKU, Muhamad Nabil Rosli dengan majikan McDonald's Malaysia (MY) sedikit sebanyak membuka satu sudut perspektif positif yang terbaik. McDonald's yang terkenal dengan khidmat masyarakat sememangnya sudah lama membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan OKU.

Nabil yang menghidapi penyakit Cerebral Palsy antara yang bertuah dapat tempat berkhidmat serta menjadi sebahagian daripada keluarga besar McDonald's MY. Lokasi McDonald's Puncak Alam menjadi medan mencari sesuap nasi buat Nabil. Kehadiran insan istimewa seperti Nabil ini telah memberi warna keriangan dikalangan pengunjung di sana. Kerana setiap pengunjung akan dibukakan pintu dan disapa dengan senyuman ceria Nabil.

Dari sembang santai bersama pengurus McDonald's Puncak Alam, Mohamad Shahrul. Nabil merupakan pekerja yang berdedikasi dan pantas dalam memastikan meja di restoran sentiasa bersih untuk kegunaan pengunjung lain. Malahan luar dalam restoran di situ akan dipastikan bersih oleh Nabil.

Perbualan ringkas bersama Nabil membuka satu-persatu kisah disebaliknya. Siapa sangka, Nabil ini adalah salah seorang atlet yang pernah mewakili sukan paralimpik dalam sukan futsal. Dari situ, Nabil rancak bercerita mengenai bola dalam dan luar negara. 

Katanya beliau adalah peminat pemain Kedah Badrul Bakhtiar dan pemain pasukan Barcelona Lionel Messi. Beliau juga dengan bangga menyatakan bahawa pasukan tempatan kegemarannya adalah pasukan JDT. Nabil tahu lagu tema pasukan JDT sampai habis. Nabil juga minat muzik dan artis yang diminati beliau adalah Awie. Berharap adalah yang sudi sampaikan kepada artis terkemuka kumpulan Wings tu.

Kisah dan perjalanan hidup Nabil inilah yang didambakan oleh OKU lain. Mereka ingin berdikari dan tidak mahu menjadi beban kepada masyarakat. Insan seperti Nabil ini sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat. Tapi terasing dengan sendiri ekoran dari pemikiran kolot sebilangan manusia. 

Diharap kita buang pemikiran yang memperkecilkan golongan ini. Mereka sebenarnya mampu memainkan peranan bersama dalam memajukan negara. Moga lebih ramai cabang industri dan majikan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU seperti yang dilakukan oleh McDonald's Malaysia dengan jayanya.



No comments:

Post a Comment