Friday, May 20, 2016

Bas Elektrik Di Laluan BRT Sunway


Mungkin ramai tertanya-tanya apa sebenarnya perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) ini. Ia bergerak di laluan khas seperti perkhidmatan rel LRT dan MRT, cuma bukan di landasan rel akan tetapi di jalan berturap. Ia satu revolusi kepada perkhidmatan bas henti-henti di negara ini. 

Perkhidmatan bas BRT ini melalui jalan tersendiri dan terasing dari kesibukan jalan raya biasa. Lebih menarik perkhidmatan BRT bukan sahaja menggunakan bas konvesional, malah turut membawa masuk bas berkuasa elektrik. Buat masa ini sebanyak lapan buah bas elektrik telah beroperasi sepenuhnya di sekitar laluan Sunway.

Kita akan melihat lebih banyak bas model begini di masa-masa akan datang. Menurut Prasarana, tambahan bas elektrik akan dibuat setelah projek sambuangan jajaran LRT Kelana Jaya mula beroperasi pada Jun nanti. 

Bas model ini mempunyai kapasiti penumpang lebih tinggi berbanding bas biasa iaitu seramai 67 orang. Bas elektrik ini mampu membuat 23 perjalanan sehari dan memberi penjimatan bahan api sebanyak 50 peratus.

Spesifikasi lain yang perlu ditekankan adalah bas elektrik ini adalah mesra pengguna kelainan upaya (OKU). Paparan skrin LCD turut tersedia bagi memudahkan penyampaian maklumat atau iklan. Selepas selesai operasi harian, bas akan kembali ke depoh untuk pengecasan semula.

Apa yang menariknya, cas semula bas ini hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dan ia boleh bergerak sejauh 80km selepas itu. Jika dicas sepenuhnya, bas boleh bergerak sejauh 168km ke 180km sehari. Pengecasan penuh baterinya mengambil masa 2jam.

No comments:

Post a Comment