Bukan hendak perlekeh perjuangan individu atau mana-mana kumpulan. Tetapi sebaik-baiknya luahan yang nak diperjuangkan itu janganlah telalu ikutkan emosi amarah tiga suku sehingga hilang budi bahasa dan tata susila berbicara. Sesiapa pun akan sanggah, jadi tak perlu hairan jika rasa diri terbuang ke tepi.
Apa yang diutarakan oleh entiti ini lebih menyentuh tentang bab perkhidmatan awam teksi dan antara isu yang dibangkitkan adalah tentang UBER. Perkhidmatan UBER ini merupakan servis kereta sapu kenderaan mewah secara atas talian dan ia dilihat mampu menggugat pendapatan perkhidmatan teksi di negara ini.
Ekoran daripada itu, entiti ini menunduh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak peka dan membiarkan UBER bebas beroperasi. Mereka ternyata silap, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar sedia maklum akan perkhidmatan UBER yang menggunakan kenderaan persendirian untuk menghantar penumpang.
Pihak suruhanjaya juga faham akan keluh kesah, susah payah yang dialami kalangan pemandu teksi kesan kehadiran UBER ini. UBER jelas melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Ia juga bercanggah dengan Seksyen 23 Akta JPJ 1987 kerana tidak memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam dan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketika langkah awal mengengkang operasi UBER sedang dilakukan, muncul pula suara orang awam yang juga rakyat Malaysia di laman-laman sosial dan blog yang menghentam usaha SPAD ini.
Bagi mereka UBER hanyalah satu medium pengangkutan alternatif yang dilihat dapat mengatasi kelemahan yang tidak berkesudahan pada perkhidmatan teksi sedia ada.
Mereka ini merupakan suara rakyat yang serik terkena dengan karenah pemandu teksi caj mahal, samseng, enggan mengambil penumpang, gangguan seksual dan sebagainya. Bantahan mereka ini, mendapat perhatian pihak media elektronik-cetak antarabangsa.
Dalam keadaan ini, SPAD menjadi sasaran mudah pembangkang untuk diserang. Kerana jika memihak kepada perkhidmatan teksi, SPAD akan dituduh tidak sensitif dengan kehendak rakyat. Jika sebaliknya pula, sudah tentu SPAD dikatakan zalim terhadap pemandu dan pengendali teksi.
Jadi janganlah ada pihak yang semberono menuduh SPAD tidak peka itu ini terhadap kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu. SPAD faham dan telah meneliti pandangan diutarakan oleh mereka yang menyokong dan menentang UBER ini. Jadi satu penyelesaian terbaik perlu difikirkan bagi tidak mengabaikan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.
No comments:
Post a Comment