Tuesday, February 25, 2014

SPAD Perhalusi Laporan Audit Kemalangan Bas Genting


Kecuaian dan memandu laju. Itulah hasil muktamad punca utama kemalangan bas di Genting Highland yang berlaku pada Ogos 2013 lalu. Keputusan tersebut telah dilampirkan ke dalam laporan audit yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedia maklum akan pengisian laporan ini dan akan meneliti setiap syor penambahbaikan yang dicadangkan samada melibatkan proses atau prosedur perkhidmatan awam.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD telah pun melakukan kajian memperbaiki beberapa aspek perkhidmatan awam di negara ini lebih awal iaitu sejak penubuhan suruhanjaya 2010 lagi.

Aspek yang diberi penekanan oleh SPAD kepada pengusaha dan pengendali adalah "Human Factor". Faktor penting ini membawa kepada langkah pencegahan drastik melalui beberapa pekeliling.

Antaranya, pekeliling mengenai pelaksanaan kod amalan industri (S.P.A.D ICOP Keselamatan) yang diwartakan pada 20 Ogos 2013 bagi menyeru semua operator memberi penekanan khusus kepada segala aspek keselamatan, penyelenggaraan dan mengawal selia pemandu. 

Selain itu, pekeliling mengenai keselamatan untuk pengendali bas bagi operasi di kawasan tanah tinggi juga telah diwartakan pada 9 September 2013.

Pekeliling ini memberi penegasan khusus kepada pengurusan pemandu, pematuhan U.N.E.C.E Rule 66 / ADR (super structure), Rule 80 pemasangan tali pinggang keledar bagi semua kerusi didalam bas, pemasangan GPS dan pemasangan sistem keselamatan brek seperti “engine retarder” diwajibkan. 

Semua pengendali bas ekspress dan henti-henti diwajibkan untuk mematuhi segala perkara yang termaktub dalam dua perkeliling yang disebutkan tadi kerana ianya turut dijadikan syarat pelesenan. 

Sehubungan itu, SPAD sentiasa mengemaskinikan segala proses dan prosedur berkaitan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang dikeluarkan berdasarkan maklumat syarikat atau individu, dan Permit Kenderaan yang mana hanya akan dikeluarkan setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Kejuruteraan JPJ dari segi spesifikasi teknikal kenderaan dan surat kelulusan pemeriksaan PUSPAKOM. 

Spesifikasi teknikal ini merujuk kepada aspek kerangka kenderaan perdangangan/bas, jumlah penumpang berdiri dan duduk, kesesuaian kenderaan tersebut dilaluan yang diluluskan dan lain-lain perkara yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ.

SPAD sentiasa menyambut baik segala cadangan Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam negara, termasuk cadangan untuk mewujudkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara. 

Walaubagaimanapun, kajian menyeluruh harus dijalankan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan tanggungjawap antara agensi. 

Selain itu, SPAD juga ingin mencadangkan supaya penstrukturan semula agensi-agensi yang berkaitan dengan lanskap keselamatan jalanraya di Malaysia dilaksanakan bagi memastikan transformasi keseluruhan industri ini dapat dijalankan.

No comments:

Post a Comment