Tuesday, July 8, 2014

Felda Perluas Skop Hartanah Melalui Pembelian Encorp


Felda melalui anak syarikatnya Felda Investment Corporation (FIC) mengorak langkah memiliki majoriti pegangan saham di dalam Encorp Berhad. Bagi merealisasikan pemilikan ini FIC telah melabur sebanyak RM239.72 juta dengan menguasai sebanyak 49.45 peratus modal saham.

Encorp Berhad merupakan sebuah syarikat hartanah terkemuka yang memiliki barisan portfolio projek yang memberansangkan. Lokasi portfolionya amat strategik sekaligus mampu memberikan pulangan pelaburan menguntungkan kepada Encorp yang kini sudah pun menjadi milik Felda.

Sebelum kemasukan Encorp ke dalam keluarga Felda. Felda sudah pun mempunyai beberapa milikan hartanah terutamanya dalam sektor penghotelan yang dimulakan sejak 1991. Sehingga kini, lebih kurang 9 buah hotel dalam dan luar negara dibeli Felda. 

Antaranya Grand Plaza yang merupakan servis apartmen terbesar di London, United Kingdom dengan nilai pelaburan sebanyak RM500 juta. Angka besar dibelanjakan ini adalah sebanding dengan latar belakang aset yang sentiasa menerima 90 peratus tempahan bilik setiap bulan dan menerima 75 peratus tempahan online. 

Grand Plaza yang berkeluasan 105,044 kaki persegi ini turut menerima anugerah Gold Circle award oleh agoda.com pada 2011. Melihat kepada spesifikasi ini menunjukkan Felda melalui FIC sememangnya ada kepakaran dan bukanlah setahun jagung dalam pelaburan hartanah ini.

Jadi langkah memasukkan Encorp sebagai sebahagian daripada Felda merupakan tindakan berasaskan pengalaman dan analisis jangka panjang dalam memastikan kelestarian Felda bagi terus membela peneroka serta generasi-generasi yang bernaung di bawahnya.

Dengan pelaburan baru ini, Felda dijangka mampu melonjak penguasaan bidang hartanah memandangkan Encorp sudah pun mempunyai portfolio projek berprofil tinggi seperti pembangunan:
1. Encorp Cahaya Alam, Shah Alam
2. Encorp Strand Mall, Kota Damansara
3. Encorp Marina, Nusajaya
4. Encorp Enclave, Batu Feringghi.

 

Barisan projek ini bakal menjadi titik permulaan transformasi Felda kepada kuasa pelabur hartanah terbesar setanding dengan Sime Darby dan IOI. Dua syarikat disebutkan ini turut berteraskan perladangan kelapa sawit, namun kini telah menceburkan diri secara drastik dalam sektor hartanah dalam dan luar negara.



Selain daripada itu, kehadiran Encorp ini diharap dapat menjadi batu loncatan buat generasi muda Felda bagi merebut peluang yang lebih baik dalam dunia pelaburan hartanah serta dapat menimba ilmu kejuruteraan pembinaan. 

Ada di antara generasi anak-anak Felda hari ini sudah bergelar jurutera, arkitek dan kontraktor kelas A. Maka mereka ini seharusnya dipertimbangkan untuk dilibatkan sama dalam projek pembangunan di tanah-tanah milikan Felda di masa-masa akan datang.




No comments:

Post a Comment