Monday, March 14, 2016

McDonald's Malaysia Diterajui Anak FELDA


Siapa sangka McDonald's yang merupakan sebuah konglomerat terkemuka dunia turut diterajui oleh anak Felda Gemas, Azmir Jaafar. Perjalanan dan susur galur perjalanan karier Azmir amat menarik untuk dikongsi kepada para pembaca. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana. 

Azmir yang kini merupakan Pengarah Urusan McDonald's Malaysia (MY) merupakan lulusan dalam Pengajian Permakanan (Diet Clinical) dari Universiti Georgia, Amerika Syarikat. Sebelum berada di puncak kariernya, beliau hanyalah seorang pelayan di sebuah hotel terkemuka pada tahun 1993. Walhal ketika itu ijazah sudah ditangan, ia merupakan pengalaman berharga sebelum menanti peluang yang lebih baik.

Beliau mula menjadi sebahagian keluarga besar di McDonald's MY dengan jawatan Pengurus Pelatih. Komitmen dan konsistensi dalam tugasan telah membuka lebih banyak peluang berikutnya seperti sebagai Ketua Jabatan Pembangunan, Pengurus Besar dan antara pelopor utama membawa masuk McDonald's ke Timur Tengah sehingga 2015.

Beliau juga bertanggungjawab dalam mengembangkan pasaran McDonald's di negara tembok besar, China. Ketika itu beliau sudah menjawat jawatan Naib Presiden/Ketua Pegawai Pembangunan. Dalam masa lima tahun sahaja, sebanyak 1,000 Restoran McDonald's dibuka di China. 

Sepanjang kariernya, banyak perubahan demi perubahan telah dilakukan McDonald's. Antaranya adalah mengembangkan rangkaian restoran melalui konsep francaisi. Melaksana konsep baru di lebih 60% cawangan dengan membuka 500 McCafes dan memperhebatkan konsep 'Drive Thru" di 250 cawangan. Pelbagai nugerah-anugerah dalam dan luar negara turut diterima McDonald's MY.

Akan datang, Azmir menyasarkan untuk meningkatkan jumlah rangkaian McDonald's daripada 270 kepada lebih 500 buah di seluruh negara. Momentum perubahan akan berterusan seiringan dengan peredaran masa dan permintaan pelanggan.

Setinggi mana kedudukan dan pencapaian yang diraih beliau. Asal usul dan kebanggan menjadi anak peneroka tidak dilupakan. Semoga perkongsian  perjalanan karier beliau dapat memberi inspirasi dan semangat buat anak muda untuk berjaya. 

No comments:

Post a Comment