Wednesday, November 25, 2015

Sasar 1000 Sukarelawan Hadapi Banjir Kota Tinggi


Satu inisiatif telah digerakkan bagi melatih dan mendidik penduduk disekitar daerah Kota Tinggi dalam persiapan menghadapi sebarang bencana terutamanya banjir. Mereka ini adalah sukarelawan yang akan menjalani Kursus Latihan Tindak Balas Komuniti (CDERT).

Kursus CDERT ini akan dibuat dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Baru-baru ini seramai 96 orang kepimpinan komuniti Mukim Kota Tinggi dan Mukim Ulu Sungat Johor telah menyertai kursus khas ini. Turut hadir melancarkan program adalah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Harun Narrashid.

Kursus taklimat dan latihan praktikal yang diberikan ini, diharap dapat membentuk satu pasukan tindakan khas dikalangan komuniti Kota Tinggi. Kita sering melihat kalangan mangsa yang terpinga-pinga tidak tahu apa nak buat bila dalam bencana atau kecemasan. Di sini para peserta dapat memainkan peranannya bagi membantu mangsa.

Latihan menerapkan aspek menyelamat, melindungi dan cara memberi pertolongan cemas. Aspek asas ini dilihat mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda dikalangan penduduk.



Pihak JPAM berharap lebih ramai warga Kota Tinggi tampil menyertai kursus bagi kerja-kerja kesukarelawan ini. Sasaran 1,000 sukarelawan dilihat munasabah memandangkan kerja-kerja menyelamat ini sememangnya mencabar. Jadi lebih ramai peserta, lebih ringanlah beban yang akan dipikul.

JPAM juga mesasarkan untuk membuka pejabat cawangan Kota Tinggi pada 1 Disember nanti, buat masa ini Balai Polis Trafik Lama bakal dijadikan depot lojistik dan agihan bahan bantuan. 


Walaupun keadaan cuaca agak baik sekarang, kita tidak boleh ambil mudah kerana bencana bah melanda tanpa diduga. Jika hendak tunggu dah banjir baru nak buat. Waktu tu, bantuan belum tentu sampai, adakalanya tidak mencukupi. Bantuan juga boleh jadi lambat tiba. 

Kita hendak elakkan semua ini dari berlaku, maka tindakan memberi latihan segera serta mewujudkan pusat lojistik diwaktu ini adalah tepat. 

No comments:

Post a Comment