Wednesday, April 23, 2014

SPAD: Prosedur Keselamatan Diperketat!!


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menitikberatkan aspek pematuhan pada had laju dalam Pekeliling SPAD ICOP-Keselamatan. Ianya merupakan salah satu agenda keselamatan yang paling kritikal dan di pantau oleh pengendali setiap masa. 

Sebagai usaha penambahbaikan, SPAD akan mengetatkan lagi prosedur supaya pengendali memberi tumpuan yang lebih serius kepada aspek pengurusan kelajuan dan keselamatan. 
Antaranya:

i. Pasukan audit SPAD akan mengaudit pemantauan pematuhan had kelajuan GPS bagi setiap pengendali bas ekspres di Semenanjung Malaysia dalam masa 30 hari. Sekiranya pengendali didapati gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan maka lesen pengendali mereka akan digantung sehingga pengendali patuh kepada proses pemantaun ini.

ii. Setiap pengendali perlu melantik Pengawal (controller) untuk memantau hadlaju bagi setiap perjalanan harian (realtime). Pengawal dipertanggungjawabkan untuk bertindak jika pemandu melebihi had kelajuan.

iii. Pengendali dikehendaki mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang ingkar mematuhi syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan. Semua tindakan ini perlu dilaporkan kepada pihak SPAD.

iv. Pengendali diwajibkan untuk mengemaskini data maklumat pemandu melalui “SPAD Driver Information System”.

v. Pengendali dikehendaki mengemukakan laporan pemantauan had kelajuan GPS kepada SPAD dan memberi penjelasan sekiranya terdapat pelanggaran had kelajuan yang telah ditetapkan.

vi. Pengendali dikehendaki mempamerkan nombor hotline penyelia didalam dan diluar bas supaya penumpang dan pengguna jalanraya lain boleh membuat aduan terus kepada mereka dan tindakan efektif perlu diambil dengan segera. Pengadu boleh melaporkan kepada SPAD jika tindakan penyelia kurang memuaskan.

vii. SPAD akan mengadakan kempen kesedaran umum mengenai aspek keselamatan penggunaan Pengangkutan Awam Darat dengan segera. Ini akan dilakukan supaya langkah-langkah penambahbaikan ini boleh menjadi lebih efektif.   

Lanjutan ini, SPAD tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pengendali bagi setiap kejadian pelanggaran had laju yang dikesan. SPAD juga ingin menegaskan kepada semua pengendali bas ekspres untuk sentiasa memberi penekanan yang serius dalam aspek pengurusan pemandu dan penyelengaraan.

Para pengendali turut diingatkan untuk mematuhi setiap piawaian yang telah ditetapkan didalam SPAD ICOP Keselamatan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan untuk mengangkut penumpang sentiasa selamat. Dalam masa yang sama, SPAD sedang mengkaji kesesuaian penggunaan kotak hitam dalam kenderaan-kenderaan perdagangan.

SPAD juga ingin memohon kerjasama daripada masyarakat umum untuk bekerjasama dengan semua agensi untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan pengangkutan awam darat.

No comments:

Post a Comment